Aku takut tapi saya langsung tak jerit. Aku sayang maknab sbb tu aku tak nak cerita apa yg berlaku

Assalamualaikum. Aku Ima. Semestinya bukan nama sebenar.

Tujuan aku menulis luahan ini adalah dengan tujuan menceritakan semula peristiwa yang berlaku 8 tahun lepas.

Ianya bermula di sebuah rumah kampung yang aku tumpangi semasa aku melaporkan diri untuk penempatan pertama bekerja di sebuah kampung di kawasan pedalaman.

Luahan aku ini juga sebagai menjawab persoalan anak anak dan cucu cucu Maknab mengapa aku pindah keluar dari rumah Maknab dan menyewa rumah lain.

Jujur aku tak ingin menceritakan kisah sebenar atas beberapa sebab yang aku rasakan perlu aku rahsiakan kisah ini daripada pengetahuan mereka semua.

Sejak peristiwa itu berlaku, mereka kerap mendesak bertanya padaku mengapa aku sudah tidak mahu tinggal dengan Maknab lagi?

Sedangkan pada waktu itu aku masih belum berkahwin. Aku bermatian ingin menjaga rahsia ini dari pengetahuan mereka. Biarlah ia menjadi rahsia buatku.

Biar aku ceritakan dan ku pahat kemas disini sekiranya admin mengizinkan. Terima kasih ya admin jika sudi menyiarkan luahan ini.

Sejujurnya, sebaik mendapat surat penempatan kerja di kawasan itu, aku sangat risau kerana aku tiada ahli keluarga atau saudara mara yang aku kenal yang tinggal berhampiran disana.

Tambahan pula, kalau sebut sahaja nama kawasan pedalaman di salah sebuah negeri di utara tanah air ini pun orang sudah berfikiran yang macam macam. Apatah lagi tinggal disana.

Kawasan ini terkenal dengan orang orang yang kuat mengamalkan sihir dan ilmu hitam.

Mujur abang ipar aku punya saudara jauh iaitu Maknab yang tinggal disana dan meminta izin untuk aku menumpang teduh beberapa hari sementara mencari rumah sewa berhampiran dengan tempat kerja.

Untuk pengetahuan semua, Maknab tinggal seorang diri dirumah tua berhadapan kubur lama. Rumah kampung lama. Suaminya tiada, sudah lama meninggal dunia.

Maknab seorang yang sangat baik sifatnya. Umurnya sudah lanjut 80 tahun lebih tapi dia masih sihat dan kuat membuat kerja kerja rumah.

Maknab anggap aku seperti anaknya sendiri. Suka buatkan air kopi. Aku diberi sebuah bilik dirumahnya. tidak berkongsi bilik. Sebenarnya itu bilik tetamu.

Aku selesa tinggal dengannya. Hujung minggu kalau tidak balik kampung menjeguk ibu, aku akan bawa Maknab jalan jalan dan singgah makan di kedai patani.

Maknab layan aje kemahuanku. Apa sahaja yang aku masak dia layankan aje makan tanpa memilih. seronok sangat.

Penghujung cerita, apa yang berlaku menyebabkan aku memilih dan membuat keputusan untuk berpindah.

Bukan salah Maknab seperti tanggapan orang lain. Aku yang memilih untuk keluar dari rumah itu. Maknab tak bersalah.

Ceritanya, lewat malam itu, aku terkena gangguan makhluk halus. Entahlah.. mungkin toyol pada firasatku.

Aku tinggal dirumah Maknab semasa cuti sekolah hujung tahun, kerana aku bertugas sebagai pengawas peperiksaan STPM pada masa itu. Hanya beberapa hari sahaja lagi aku bakal menjadi raja sehari.

Malam itu aku berbual dengan tunangku di telefon sebelum tidur. Sebelum tidur aku letakkan handbag di sebelah kanan bantal tidurku. Telefon aku letak disebelah kiri. Kunci jam. Macam biasa.

Lampu aku padam. Tak biasa tidur dengan lampu terpasang. Hanya cahaya bulan sahaja yang menusuk masuk melalui celahan tingkap bilik. Aku pejamkan mata, masih belum terlelap pun.. Masih diawang awangan..

Tiba tiba aku sedar, aku bukakan mata. Aku nampak bayang makhluk menyerupai kanak kanak berkepala botak. Hitam gelap.

Wajahnya aku tak nampak jelas. Tapi susuk tubuh tu berdiri benar benar disebelah kanan katil. Betul betul dibahagian tepi bantal aku.

Aku pasti tu susuk tubuh kanak kanak kerana ketinggian itu ketinggian kanak kanak mungkin dalam lingkungan umur 3 tahun begitu.

Aku tak sempat menjerit. Makhluk tu meraba raba wajahku dengan tangannya. Sumpah. Aku dapat rasa jari jemari halus seperti kuku panjang menyucuk nyucuk mukaku.

Aku seperti meracau, aku seram. Aku tolak tolak tangan makluk tu dengan tanganku. Aku bangun terduduk. Aku cepat cepat bukak lampu. HILANG…

Sumpah aku takut. Tapi entahlah..Aku langsung tak menjerit. Apa sebenarnya yang aku nampak? Makhluk apakah itu? Toyolkah?

Adakah sebenarnya makhluk itu cuba mengambil duit didalam handbag aku? Handbag aku kan tadi ku letak betul betul disebelah kanan bantalku? Kebetulan aku tidur wajahku menghadap handbag.

Jadi? Makhluk tu ganggu aku… Allah. Subhanaallahh. Lampu kubiarkan terang berderanglah malam itu.

Tapi boleh pulak ku sambung tidur seperti biasa macam tiada apa yang berlaku. Kelakar juga bahagian ni. Apa pun yang berlaku, tidur berkualiti jadi keutamaan. Haha.

Esoknya, aku tak ceritakan pada sesiapa termasuk Maknab. Aku risau dituduh mereka reka cerita pula. Siapa yang nak percaya hal sebegini melainkan yang pernah merasai dan melaluinya sahaja.

Aku sayang Maknab. Aku tak mahu cerita aku memudaratkan dia yang tinggal seorang diri dirumah itu.

Seminggu lepas kejadian, aku minta maaf pada Maknab. Aku beritahu bahawa aku akan pindah keluar dan tinggal berhampiran sekolah.

Maknab terkejut, dia sedih dan pelik kenapa aku tiba tiba ingin pindah keluar. Sedangkan dia tinggal seorang diri sahaja.

Aku terpaksa gunakan alasan yang aku akan berkahwin tak lama lagi. Jadi aku segan nak tinggal dengan Maknab lagi.

Maknab, Abang Mie (anak Maknab), Kak ila.. Kak chik… Mirah.. Mirul. Sebenarnya, mereka pun hairan dan tertanya tanya pada aku mengapa aku ingin pindah keluar dari rumah itu. Mereka suka aku tinggal disitu sekurang kurangnya Maknab ada peneman.

Ima minta maaf sangat sangat pada semua… kalau ada yang baca, mesti mereka tahu yang menulis ini siapa.

Terima kasih semua, kerana tumpangkan Ima tanpa minta balasan. Jasa Maknab sekeluarga Ima kenang sampai bila bila.