Walau aku masih kecil time tu. Aku agak sedih bila tengok ibu dalam bilik tu. Kadang tangan ibu tersepit

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin sekiranya luahan saya ini disiarkan. Tidak berniat nak mengaibkan sesiapa, cuma mengkongsikan luahan rasa.

Salam, hai nama saya Mia. Umur dalam 20an dan sedang menyambung degree di sebuah IPTA di Malaysia.

Sebenarnya lama dah saya nak kongsi cerita hidup saya, tapi saya takut dan tak tahu bagaimana nak meluahkan.

Sepanjang saya hidup, saya tak pernah kongsikan derita yang dari kecil saya tanggung. Saya hidup agak tertekan, kadang kadang rasa nak lari dari rumah, nak bnuh diri.

Sebab sebab saya tak pernah bercerita tentang masalah saya ialah, saya takut pandangan rakan saya terhadap saya akan berubah, dan saya dilihat keluarga yang bermasalah.

Betul, keluarga saya sangat sangat bermasalah, dan saya malu seandainya rakan saya mengetahui hal ini.

Di sekolah mahupun di universiti, rakan rakan melihat penampilan saya seorang yang sangat happy go lucky. Seolah olah orang yang tiada masalah, tapi dalam hati saya tidak siapa yang tahu betapa remuknya hati saya.

Sangat sakit bila menampilkan wajah yang ceria, disaat hati saya seolah olah retak seribu.

Pernah rakan rakan saya menduga saya seoalah olah tiada masalah kerana perangai saya yang sangat ceria di sekolah mahupun di IPTA.

Disini saya teruskan cerita saya, sejak kecil saya dijaga oleh pengasuh kerana ibu saya mempunyai penyakit, schiz0prenia dan baru sahaja melahirkan adik di bawah saya.

Di rumah pengasuh, agak berbeza layanannya terhadap saya dan anak anak kandungannya.

Untuk pengetahuan, ibu saya juga tinggal bersebelahan sahaja dengan rumah pengasuh tersebut namun saya tidak dibenarkan berjumpa dengan saya. Walhal saya ketika itu masih terlalu kecil dan dahagakan kasih sayang ibu.

Ayah saya dimana? Oh ayah saya waktu itu sedang menyambung pelajaran, jadi ayah berada di IPTA ketika itu. Ayah menyambung degree selepas berkahwin.

Pernah di rumah pengasuh, ibu saya memanjat tingkap nako kerana tidak tahan dikurung, dan ingin berjumpa dengan anak anaknya.

Saya juga berpisah dengan adik beradik yang atas saya kerana abang dan kakak saya dihantar ke rumah ibu saudara saya yang lain.

Meskipun saya masih kecil ketika itu, saya agak terkilan. Melihat kaki ibu saya dipenuhi drah kerana cuba keluar daripada bilik yang dikurung itu.

Kadang kadang saya nampak tangan ibu saya tersepit di bawah pintu. Apabila saya memujuk pengasuh untuk membuka, dia berkata itu hanyalah lakonan ibu saya kerana ingin keluar.

Saya sangat remuk kerana tidak dibenarkan berjumpa. Anak anak pengasuh pula suka membuuli saya, memuukul, mengurung, dan macam macam cara saya dibuuli oleh anak pengasuh tersebut.

Apabila diceritakan, pengasuh seolah olah mengangap itu hanyalah gurauan budak kecil, huhu.

Tidak lain dengan itu, dirumah pengasuh itu juga agak kedekut dengan saya. Biskut biskut kering yang dibeli akan disimpan didalam biliknya dan hanya anak anak nya dibenarkan makan biskut tersebut.

Sebagai kanak kanak, biskut kering amat saya suka, namun tidak diberi. Huhu sedihnya bila mengenangkan,

Sekarang, saya dah tinggal bersama ibu saya dan adik beradik yang lain sejak saya berumur dalam 6 tahun kalau tak silap.

Dirumah ibu dan ayah saya sentiasa bergaduh, saya sangat tertekan dan berasa malu dengan jiran tertangga. Ayah suka mengutuk ibu. Bermacam macam dia kutuk ibu saya.

Sebagai seorang yang mengidap schiz0, kelakuan ibu saya agak slow mungkin kerana pengambilan ubat ubatan (saya tidak pasti).

Jadi ayah saya sering mengherdik dan memalukan ibu saya di rumah adik beradiknya.

Saya sangat terkilan dengan ayah saya. Meskipun dia seorang yang sangat alim, sembahyang tidak pernah tinggal di masjid, menghabiskan masa dengan banyak solat sunat, mengaji dan berselawat atau berzikir namun dia tidak menjaga lidahnya.

Banyak kali dia mengamuk di rumah, sehingga jiran jiran tertangga dengar menyebabkan saya berasa sangat malu untuk berdepan dengan jiran oleh kerana perangai ayah saya.

Banyak kali setiap kali bertemu mata dengan jiran saya, jiran seolah olah memandang sinis terhadap keluarga saya. Seolah olah keluarga yang sangat teruk, huhu.

Saya kadang kadang berasa tidak bergunanya hidup, malu dan merasa ingin cepat cepat mati.

Setiap kali selepas sembahyang, saya sentiasa berdoa agak ibu bapa saya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, serta dapat masuk syurga tanpa dihisab.

Tidak pernah lekang di bibir bibir saya melantunkan doa doa untuk ibu dan bapa saya serta meminta tuhan menjaga keluarga saya agak sentiasa dirahmati. Huhu.

Tidak pernah sesekali saya berdoa agar saya dipanjangkan umur kerana saya tidak sanggup hidup lama, saya tidak bahagia.

Tidak cukup dengan jiran yang memandang sinis, sedara mara sebelah ayah juga memandang sinis terhadap keluarga saya.

Oleh kerana cerita daripada ayah saya yang mengatakan ibu saya tidak pandai menguruskan rumah tangga. (Padahal ayah saya sendiri tahu ibu saya sakit).

Ibu saya tidak pernah diminta untuk hidup begitu, itu hanyalah ujian untuk ibu saya di dunia dan juga mungkin ujian untuk ayah saya sebagai pasangannya.

Ayah saya juga agak berkira dengan anak anak dan isteri. Ibu saya seorang wanita yang tak bekerja, dan dia tiada harta. Dia tidak berhak melakukan apa apa dan hanya mendiamkan diri apabila diherdik ayah saya.

Ayah saya kerja bukan biasa biasa. Gaji nya mencecah 8-9k sebulan. Namun nafkah diberikan kepada ibu hana 150-200 sebulan, barang barang dapur dibeli olehnya.

Ayah saya tidak pernah membawa keluarga saya keluar makan, kerana risau akan mahal dan duit cepat habis.

Seingat saya last saya keluar makan bersama keluarga adalah ketika saya masih sekolah. Itupun abang saya yang belanja, apabila pulang daripada kampung.

(Abang saya kerja di bandar, keluarga saya orang kampung je).

Pernah sekali ayah saya belanja kami makan malam, lalu berleter mengungkit rumah yang tidak kemas, dan masih mampu memasak sendiri rumah.

Sebagai ibu saya faham, ibu saya bosan makan makanan dirumah. Dan ingin sesekali menukar selera. Tidak salah sekiranya ayah saya belanja keluarga sekali sekala, huhu sedihnya.

Dirumah, ayah saya setiap hari berleter. Saya sangat tertekan. Dengan kelas online, membuatkan saya bertambah tertekan.

Untuk pengetahuan, rumah saya sangat buruk, seolah olah ayah saya seorang nelayan. Atap rumah terlalu banyak bocor, lantai berlubang, tanga penuh dengan anai anai, rumah seperti sudah ingin runtuh, dan saya tidak selesa.

Untuk pengetahuan, ayah saya sudah membina rumah kami, tapi sudah berkurun masih tidak boleh diduduki.

Rezeki ayah saya sering ditarik. Kadang kadang kereta rosak, kene tipu, barang kene curi.

Ibu saya berkata mungkin kerana ayah terlalu berkira dengan anak anak, menyebabkan Tuhan menarik rezeki dengan caraNya, (walwahualam).

Mungkin sampai disini sahaja luahan daripada saya, diharapkan admin post dan netizen dapat memberikan komen yang membina buat saya. Sekian.