Aku ambil keputusan berdiam diri sebab saya juga memang terpalit dgn hubungan terlarang tu

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin berkongsi satu kisah yang boleh kita sama sama menjadikan ia satu pengajaran untuk kita.

Sekiranya ada sebarang ejaan yang tersilap harap dapat dimaafkan kerana kadang kala saya terlepas pandang.

Malam itu sedang saya melayan mata yang mengantuk tiba tiba ada panggilan masuk. Panggilan daripada seorang kawan lama.

Kawan yang selalunya menjadi ‘cctv’ dalam FB tiba tiba minta nombor telefon dan terus hubungi saya untuk bertanya khabar.

Macam pelik kan…?

Selesai sesi bertanya khabar dan sedikit cerita tentang kenangan selama kami bekerja di Pulau Kapas antara dua dekad yang lalu tiba tiba dia mengungkit tentang satu cerita.

“Mimi… Kau ingat tak lagi pada Nan…?”

Soalnya tiba tiba.

“Nan… Owh suami Laila kan…?”

Terus wajah polos Laila yang cantik itu menerpa ke sanubari saya. Apa lah khabar Laila agaknya. Terputus terus hubungan saya dengannya selepas hari itu.

“Betul lah apa kau kata dulu… Silap aku tak dengar nasihat kau…”

Ujarnya perlahan, daripada suara ceria tiba tiba berubah menjadi suram.

“Nasihat mana tu…? Banyak rasanya aku nasihat kau…”

Soal saya sambil berusaha mengimbas kembali apa yang terjadi.

“Tentang Nan…”

Jawabnya perlahan. Apabila dia menyebut nama Nan saya terus tersenyum. Akhirnya saya berjaya meneka apa yang tersirat di sebalik panggilan lewat malam kawan saya ini.

Ceritanya bermula disini… Beberapa dekad yang lalu, saya dan dia bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah resort kecil yang terletak di Pulau Kapas Terengganu.

Ketika itu kami masih muda. Jarak umurnya lebih 5 tahun daripada saya dan saya gelarkan dia sebagai Kak Vida. Tapi dia lebih senang jika saya hanya memanggilnya Vida.

Saya, Vida, Nan dan Laila merupakan satu ‘team’ di tempat kerja. Kami berempat sangat akrab, ke mana sahaja kami pasti akan pergi bersama. Tanpa salah seorang rasanya tidak lengkap segala acara kami.

Namun keakraban kami hanya sementara apabila saya mendapati Vida telah menjalinkan hubungan sulit dengan Nan.

Pernah beberapa kali saya ternampak Vida keluar daripada bilik Nan ketika Laila pulang ke kampung.

“Kau tak rasa berdosa ke buat Laila macam tu…?”

Soal saya pada satu hari apabila sudah tidak tertanggung rasa marah saya. Memang Nan bukan sesiapa dengan saya tetapi Laila adalah kawan saya. Kawan yang sentiasa ada di saat susah dan senang saya.

Laila adalah satu satunya orang yang ada disamping saya disaat saya memerlukan kawan untuk bicara setelah hati saya di sakiti oleh seorang insan bernama lelaki.

Laila jugalah yang membawa saya bekerja di kepulauan tersebut dan kenalkan saya dengan Vida.

“Alaaa… Aku bukan nak kawin pun dengan Nan. Main main jer lah. Lagipun dia yang nak ‘scandal’ dengan aku. Bukan aku yang minta…”

Jawabnya dalam nada yang tinggi. Mungkin dia tidak suka saya mencampuri urusan dia bersama Nan.

“Masalahnya Laila tu kawan kita Vida…! Kawan baik tuuu… Mula mula main main, kemudian jatuh cinta siapa yang susah nanti…?”

Saya cuba memperingatkan kepadanya tentang perasaan dan nilai persahabatan kami berempat.

“Yang kau dengan Ray tu…? Suami orang juga kan..?”

Dia mengungkit tentang satu satunya kesilapan yang pernah saya buat.

“Tapi bila aku tahu dia suami orang sekurang kurangnya aku dah tinggalkan dia kan…?”

Saya cuba membela diri. Kami sama sama diam. Saya diam kerana menyesali keterlanjuran saya jatuh cinta pada suami orang walaupun ketika itu saya tidak tahu tentang statusnya.

Dalam diam saya berharap kebisuan Vida itu membuahkan penyesalan tentang keterlanjuran dia mengkhianati kawan baik dia sendiri dan segera hentikan hubungan terlarang itu.

“Vida… Kau bahagia…?”

Soal saya kepadanya setelah hampir beberapa minit membisu.

“Bahagia…”

Jawabnya pendek.

“Jika Laila tahu, adakah kebahagiaan ini akan kekal..?”

Soal saya lagi. Saya tahu ianya pasti akan sakit. Bukan Vida sahaja, Nan dan Laila juga turut akan sakit.

Lebih lebih lagi Laila, pasti dia akan rasa di khianati oleh suami dan sahabat baiknya sendiri.

Saya…? Sudah pasti akan turut terpalit kerana saya juga tahu tentang hubungan terlarang ini tetapi saya mengambil keputusan untuk berdiam diri demi menjaga tali persahabatan kami berempat.

“Dia tak akan tahu…!”

Vida menyuarakan keyakinan dia.

“Tak… Kau silap Vida… Laila pasti akan tahu. Walaupun bukan sekarang tetapi lambat laun dia pasti akan tahu…”

Ujar saya sambil merenung Vida yang sedikit pun tidak kelihatan bersalah. Begitulah yang terjadi pada saya.

Saya dan Ray lama bersama. Dia di Terengganu dan saya di Pahang. Hujung minggu Ray akan datang bertemu saya. Tidak logik lah jika isterinya yang berada di Terengganu boleh hidu kecurangan Ray…

“Macamana dia tahu…? Aku jumpa Nan pun waktu dia balik kampung jer. Kecuali daripada mulut kau…”

Vida membalas renungan saya.

“Vida… Isteri ni ada deria ke 6 tau. Suaminya curang atau terjadinya sesuatu kecelakaan yang buruk ke atas suaminya, isterinya yang akan rasa dulu. Itu adalah kurniaan Allah SWT kepada golongan perempuan yang bergelar isteri.

Vida… Jika bukan sekarang lambat laun pasti dia akan tahu dan waktu itu kifarah Allah SWT pasti akan menyusul kerana doa seorang isteri yang di khianati tidak akan di pandang remeh oleh Allah SWT…”

Itulah kata kata isteri Ray ketika kali pertama kami bersua. Waktu itu saya rasa kaki saya seolah olah tidak memijak bumi, terawang awangan sehingga tanpa sedar hinggap satu das penampar ke pipi Ray lalu saya mengambil keputusan untuk menarik diri.

Tidak berani untuk saya bermain dengan kifarah Allah SWT kerana jika tidak berlaku ke atas saya mungkin ke atas anak anak saya nanti dan hari itu saya pula yang menasihati Vida tentang benda yang sama.

Dia diam tanpa bersuara. Mungkin sedang memikirkan apa yang saya cuba nyatakan.

“Kau mungkin bahagia sekarang, tapi satu masa nanti bila kau dah bersuami apa perasaan kau bila suami kau mengkhianati kau atau menantu kau buat macamtu pada anak anak kau…?

Waktu tu kau dah tak boleh nak salahkan sesiapa dah… Itu lah bentuk kifarah yang kau akan terima… Vida… Seorang ustazah pernah berkata…

Jangan salahkan takdir jika satu masa nanti satu persatu nikmat kebahagiaan dalam hidup kau ditarik.

Kau akan rasa kekurangan kasih sayang di sepanjang hidup kau. Walaupun pasangan kau cukup sempurna namun bagi kau ianya tetap tidak mengcukupi kerana nikmat kebahagiaan kau telah ditarik oleh Allah SWT kerana doa seorang isteri yang teraniaya.

Islam juga melarang kita merebut kebahagiaan orang lain apatah lagi hanya untuk suka suka…”

Sambung saya lagi. Itulah kali terakhir kami berbicara dengan baik kerana Vida mengambil keputusan untuk keluar daripada ‘team’ kami.

Vida mula menjauhkan diri daripada saya tetapi tetap kelihatan bersama Nan pada tiap kali Laila pulang ke kampung.

Begitu juga dengan Nan. Saya tidak pasti apa yang diburuk burukkan oleh Vida sehingga Nan juga mula menjauhi saya.

Hubungan saya dan Laila tetap baik walaupun jauh di sudut hati saya rasa sangat berdosa dan saya berharap Laila akan tahu juga nanti tetapi yang pasti bukanlah daripada mulut saya.

Akhirnya berlalulah satu musim yang sarat dengan rahsia pengkhianatan kerana kontrak perkhidmatan saya telah tamat.

Saya tinggalkan Vida, Nan dan Laila bersama rahsia saya di pulau tersebut. Vida dan Laila memeluk saya seolah olah tiada apa yang terjadi.

“Mimi, kau masih muda. Aku dah jauh terlanjur. Jangan ikut langkah aku. Jangan jadi orang ketiga dalam rumah tangga orang lain… Terima kasih kerana setia menjadi seorang sahabat yang baik…”

Bisik Vida pada saya ketika kali terakhir kami bertemu. Perlahan bot meninggalkan kepulauan tersebut.

Meninggalkan pelbagai kisah dan cerita. Dalam hati berdoa semoga rahsia itu kekal menjadi rahsia walaupun saya sendiri tidak setuju dengan perbuatan Vida dan Nan. Laila begitu baik pada mereka.

Tidak harus Laila dilayan begitu. Semoga ada sinar bahagia buat Laila dan Nan. Buat Vida semoga dia cepat sedar dan menginsafi perbuatannya itu sebelum terlanjur jauh.

“Mimi… Kifarah sedang mengikuti aku…”

Vida menangis di hujung talian. Saya tersedar daripada lamunan. Panjang sungguh perjalanan memori ingatan saya sehingga saya tidak sedar bila Vida mula menangis.

“Satu persatu Dia mula menghukum. Sehingga aku tersungkur dihujung sejadah memohon keampunanNya…”

Vida mula menjadi sahabat FB saya selepas penulisan saya bertajuk Andai Dipulangkan Kembali tular di media social.

Awalnya saya agak terkejut dengan ‘friend request’ dari Vida dan akhirnya saya ‘approve’ setelah melihat suaminya bukanlah Nan.

“Selepas beberapa bulan kau pergi, aku putus dengan Nan sebab Laila mengandung. Dia tak nak jika satu hari nanti Laila tahu.

Dia sayangkan Laila dan anggap aku hanya untuk ‘suka suka’ sahaja… Betul kata kau ianya sangat sakit sebab aku dah mula sayangkan Nan.

Aku merayu pada Nan supaya jangan tinggalkan aku. Tapi Nan tetap berkeras untuk tinggalkan aku demi Laila. Aku benci Laila… Benci sangat sampaikan aku cuba untuk buat dia keguguran…”

Saya tergamam. Kenapa sampai bergitu terdesak sekali. Vida bukanya tidak cantik malah dia yang paling menawan di kalangan penyambut tetamu di resort itu. Bukan tiada yang cuba memikatnya hanya Vida yang tidak mahu.

“Aku mengandung anak Nan dan terpaksa aku gugurkan kerana Nan janji nak nikahi aku dengan cara yang baik dalam persetujuan Laila.

Baby tu dah 3 bulan dalam perut aku Mimi… Kerana percayakan Nan aku ‘bnuh’ anak aku. Akhirnya aku juga yang kena buang ke tepi…”

Vida diam sejenak mungkin sedang menyeka air mata yang mengalir.

“Bila dia mesej aku minta aku tinggalkan dia dan jauhkan diri daripada Laila. Aku kecewa sangat. Puas aku merayu dan memujuk Laila supaya terima aku dan cerita padanya tentang kecurangan Nan.

Laila tetap berkeras minta Nan memilih aku atau dia. Laila tidak mahu bermadu dengan aku dan akhirnya Nan memilih Laila…

Aku di buang kerja kerana bergaduh dengan Nan di lobi. Aku balik Kemaman dan akhirnya aku redha… Setiap kata kata kau aku ingat satu persatu. Alangkah baiknya jika aku putuskan sebelum melarat… Sekurang kurangnya aku dan Laila masih boleh terus berkawan…”

Sambungnya lagi dalam nada kesal.

“Benda dah lepas tak perlu ungkit. Kau pun dah bahagia kan..? Ada suami dan anak anak yang sayangkan kau…”

Entahlah samada saya ikhlas atau pun tidak ketika berkata kata.

“Bahagia…?”

Vida ketawa di hujung talian. Ketawa paling sendu yang pernah saya dengar.

“Bahagia apa jika terpaksa tersenyum di saat suami aku curang. Terpaksa menerima takdir anak aku jadi janda di usia muda kerana suaminya giilakan perempuan lain yang lebih berjaya.

Bahagia apa jika hutang keliling pinggang. Suami terpaksa menagih simpati daripada perempuan kaya untuk membayar hutang. Bahagia itu kah yang kau kata…?”

Saya cuba menjadi seorang yang paling ‘positif’. Mahu saja saya melemparkan kata kata itu kepadanya…

“Vida… Itu takdir kau yang pilih…”

Namun saya telan kembali kata kata itu dan saya tukar kepada ayat yang lebih profesional…

“Sabarlah Vida… Setiap manusia ada ujian masing masing. Kau diuji dengan pelbagai ujian sebab Allah sayang kan kau. Allah uji sebab Allah sayang. Apa yang penting kau dah sedar dengan kesilapan kau.

Segala yang berlaku ada hikmahnya. Allah tak akan uji hambanya dengan ujian yang sia sia. Percayalah ada terkandung kasih sayangNya di sebalik ujian itu…

Kau harus sentiasa positif dan jangan sesekali menganggap ia adalah hukuman. Anggap sahaja ia adalah tanda kasih sayang Allah dengan menjentik kau supaya kau sedar akan kesilapan kau. In Sha Allah kau akan menjadi orang yang redhaaa…”

Alhamdulillah kami sudahi perbualan kami dengan baik.

Atas persetujuan Vida, saya shared kisah ini sebagai satu iktibar… Semoga kisah Vida ini memberi pengajaran kepada para pembaca.

Apa yang patut ubah, saya telah ubah untuk tutup aib Vida, Nan dan Laila. Bahasa dan perbualan antara saya dan Vida juga telah saya edit dan susun supaya mudah difahami oleh para pembaca.

Salam sayang daripada saya… Mimi