1st time datang rumah dia, aku disambut 2 pembantu. Ayah bekas CEO dan mak dia suri rumah je

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nama aku Intan, berumur 29 tahun. Aku berasal daripada keluarga biasa biasa tetapi ditakdirkan Tuhan, dipertemukan jodoh dengan suami yang datang daripada keluarga yang kaya raya dan bolehlah kalau nak digelar, Crazy Rich Malaysian!

Aku dan suami bertemu ketika sama sama menuntut di universiti. Selepas SPM, aku berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara dengan biasiswa. Suami pula belajar di sana dengan perbelanjaan sendiri.

Sepanjang pengajian, suami duduk bersendirian di rumah milik keluarga mereka di salah satu negara yang terletak di Hemisfera Selatan.

Ayah mertua bekas CEO di sebuah syarikat terkenal dunia. Beliau masih memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa buah syarikat berkepentingan kerajaan dan swasta.

Ibu mertua pula seorang suri rumah. Biarpun tidak pernah bekerja, ibu mertua merupakan anak tunggal yang turut mewarisi kekayaan keluarganya.

Kalian bolehlah membayangkan bapa mertua aku seperti watak Mustapha Kamal dalam drama Megah Holdings. Kebetulan, muka dia memang ada iras iras.

Tapi dalam kalangan keluarga besar mereka, rumah mertua di Hartamas yang kalian boleh intai dari Plaza Tol Penchala ini adalah yang paling biasa biasa sekali!

Keluarga yang lain kebanyakan duduk di Bukit Tunku, Taman U-Thant, Taman TAR dan Mines Resort.

Hampir semua saudara mara mereka duduk di rumah agam bersaiz mega. Ada juga yang ‘cuma’ duduk di kondominium, tetapi bukan sebarangan rumah, lokasi di bucu KLCC!

Teringat cerita di awal perkahwinan sewaktu melawat ke rumah seorang saudara suami. Aku disambut dua pembantu asal Filipina berbaju seragam (kemudian dapat tahu salah seorang tu berkelulusan TESL dan buat part time mengajar English di rumah jiran, konsulat Jepun di malam hari).

Mahu melangkah masuk rumah, nak pakai atau buka kasut pun aku tak pasti. Malu dan keliru. Rumah itu memang mega bak istana dengan dekorasi mewah!

Setakat yang aku dengar, tok nenek moyang mereka datang ke Malaya naik kapal masa zaman British dulu.

Mereka datang datang dah kaya, bukan baru kaya sebab jadi ahli politik, jual produk timbang kilo atau tipu tipu duit NGO.

Aku tak pasti gaya hidup orang kaya lain. Tetapi selama aku berkahwin dan hidup dalam keluarga ini, agak berbeza dengan kehidupan ‘orang kaya’ yang dipamerkan kebanyakan influencer dan ana -anak VIP lain di social media. Hidup mereka walaupun ada juga drama, tetapi lebih siuman.

Jadi, apa tujuan aku di sini? Aku rasa terpanggil untuk berkongsi kehidupan nyata orang orang kaya di Malaysia.

Kenapa aku? Sebab keluarga yang sebenar benar kaya ini sangat tertutup dan tak begitu berminat berkongsi kehidupan dan kekayaan mereka di ssial media.

Berikut aku kongsikan TIGA (3) sifat keluarga kaya raya ini daripada pemerhatian peribadi aku.

MERENDAH DIRI.

Secara umum, keluarga mereka sangat sangat merendah diri dan tidak suka mempamerkan dan membandingkan kekayaan.

Jika keluar di khalayak umum, mereka tidak suka memakai pakaian dan aksesori yang terlalu menarik perhatian.

Biarpun jauh daripada mampu, mereka sekadar memandu kereta yang praktikal dan ‘tahan lama’ seperti Mercedes, BMW dan sekurangnya satu kereta jenama nasional.

PENDIDIKAN.

Tiada istilah pendidikan tidak sepenting usaha dan kerja kuat. Kebanyakan memang belajar di sekolah sekolah antarabangsa dan swasta di dalam dan luar negara. Namun tidak kurang yang masih menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan menengah biasa!

Seterusnya mereka akan menyambung pelajaran di universiti luar negara. Biarpun hidup serba cukup, pendidikan terbaik tetap dititikberatkan!

KEKELUARGAAN.

Mereka sangat mementingkan nilai kekeluargaan. Hampir setiap perayaan dan sambutan akan diraikan.

Satu contoh yang agak menarik perhatian, setiap kali satu keluarga ingin mengadakan majlis perkahwinan, keluarga lain akan menghulurkan duit ‘salam keruk’ dalam jumlah yang agak besar (untuk aku).

Tidak kurang ratusan ribu ringgit dihulurkan setiap keluarga SEBELUM majlis dilangsungkan.

Jadi, tidak hairanlah jika mereka mampu mengadakan majlis resepsi mewah di hotel-hotel lima bintang.

KEDEKUT.

Ya, walaupun banyak duit, mereka sangat berkira tentang keluar masuk duit. Mungkin itulah sebabnya mereka boleh kaya raya! Mereka tidak sewenangnya membelanjakan duit membeli barangan mewah.

Cuma dalam kedekut kedekut tu, mereka sangat kuat bersedekah. Bukan sikit nilai yang mereka hulurkan! Mereka tidak perlukan pujian atau berita v!ral. Mereka cuma pentingkan resit untuk dapatkan pengecualian cukai!

Banyak lagi sebenarnya nilai yang boleh diteladani daripada rutin kehidupan dan tradisi keluarga ini. Yang baik jadi pedoman, yang buruk jadi sempadan.

Tetapi aku masih tak pasti, apakah kalian benar benar ingin tahu? Apakah lagi rahsia kehidupan mereka yang kalian ingin aku kongsikan?

Akhir sekali, aku harap masyarakat tidak akan terpedaya dengan definisi kekayaan yang salah, ditonjolkan orang yang baru nak merasa sedikit kesenangan dunia.

Kalau ada yang terpaksa menunjuk nunjuk kaya, ketahuilah bahawa mereka sebenarnya belum cukup kaya!