Masa ibu amuk, polis datang, kami adik beradik terus lari keluar dan semua nangis ketakutan masa tu

Hai nama aku Bunga. Umur aku 23 tahun. Masih seorang pelajar. Daripada tajuk, kalian pasti sudah tahu apa yang akan aku ingin sampaikan.

Sejujurnya, aku buntu dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Maaf, luahan ini agak panjang kerana aku akan cerita details apa yang berlaku. Maaf juga kerana aku bukanlah seorang penulis.

Ya. ayah aku telah bernikah satu lagi tanpa pengetahuan ibuku. Sudah sebulan lebih mereka telah berkahwin.

10/1/2021 ahad, merupakan hari di mana bermulanya sebuah neraka di rumah ini. Hari pertama di mana ibu tahu. Ibu menangis seharian tanpa henti.

Semua cawan, harta benda di dalam rumah ini habis dipecahkan. Pada malam sabtu 9/1/21, ayah dan ibu telah mula bergaduh.

Instinct seorang isteri, telah tahu suami dia menyorokkan sesuatu. Ibu mahu ayahku jujur, tetapi ayah tidak jujur. Sehinggalah didesak di depan seorang ustaz baru ayah nak mengaku.

Pada waktu itu, ibu teramat marah. Ibu punya marah sampai dia tak sedar dia pukul pukul ayah aku. Sampai dia tak sedar, dia drive kereta sampai terlanggar divider jalan.

Selepas kejadian ayah mengaku, ibu balik dihantar oleh kawan ibu. Ayah masih bersama ustaz tadi.

Aku menunggu ibu balik. Lepas ibu balik, ibu menangis semahunya dan ibu melepaskan rasa amarahnya dengan menghempas cawan, menendang meja. Habis satu rumah hancur.

Waktu itu aku seorang, aku tak kuat nak halang sebab aku kurus ibu sedikit chubby.

Sampaikan ibu dah berubah menjadi orang lain, di mana dia mengugut menyuruh ayah balik waktu tu jugak kalau tak anak anak dia semua maati. Waktu tu ayah masih bersama ustaz tadi.

Waktu tu, ibu dah ambil piisau yang ada di dapur. Aku dan adik adik sudah menangis kerana ketakutan. Ayah call polis kerana risau apa apa akan jadi.

Lepas polis datang, aku dan adik adik berlari keluar. Habis kecoh satu lorong. Semua jiran melihat ibu mengamuk.

Waktu mengamuk, ibu dengan ayah bertekak. Sampaikan ibu menyocok dada dia dengan piisau. Aku dan adik adik mampu menangis dan melihat dari luar.

Selepas keadaan kembali reda, kami semua mula mengemas rumah. Tiba tiba, ibu jatuh. Dia mengadu, dia sakit perut.

Ibu kene gastrik sebab satu hari tidak makan dan minum tapi dia tak nak ke klinik. Sakit sakit ibu, ibu menangis lagi bagai tiada hari esok.

Aku masih menjaga ibu, walaupun aku tahu malam tu aku ada exam. Sampaikan waktu menjawab exam, beberapa kali pintuku diketuk. Kerana ayah kejap suruh call ambulans, kejap suruh siapkan ibu.

Sampaikan aku tak sempat nak menghantar test pada malam tu. Sudahlah diuji ibu macam tu, diuji lagi tak sempat nak hantar test.

Waktu tu aku menangis dan waktu tu aku sudah mula benci ayah. Kalau ayah tak kawin lagi pasti semua ni takkan jadi, dan aku akan hantar test on time. Bagi aku, CGPA adalah amat penting.

Selepas 10/1, dua minggu lebih ibu menangis tanpa miss sehari pon. Setiap pagi, petang malam dia akan menangis. Sampaikan, ibu tak menangis pon, tapi otak dan telinga aku ingatkan dia menangis.

Ibu bagitahu, dia menangis sebab ayah tak jujur. Ayah tipu. Dia kata dia tak marah ayah kawin lagi, dia marah sebab ayah tak jujur.

Tapi setiap hari ibu akan sebut, kenapa kena kahwin lagi satu. Ibu tahu ayah tak mampu. Aku pun dah pening. Setiap hari mereka akan bertekak. Ibu punya menangis sampaikan, dia berubah jadi orang lain.

Satu malam tu, lepas solat isyak dan mengaji, dia tak kenal semua orang dalam rumah. Cara dia bagi aku menakutkan sebab dia act macam orang lain, bercakap sambil ketawa.

Lepastu dia tidur sekejap. Bangun tu, dia sedar balik macam biasa. Dia tanya kenapa tak kejut dia solat isyak, dia kata dah lama dia tidur. Aku tak tahulah ibu ni ada masalah apa atau dia saja berperlakuan begitu.

Ayah kahwin dengan bekas kekasih dia. Alasan dia kawin sebab dia kata dia ikut sunnah. Alasan dia kawin kerana Allah.

Sedangkan dia tak mampu. Ibu pun kena kerja sebab nak topup apa yang tak cukup dalam rumah ni.

Ayah cakap, perempuan tu kaya. Perempuan tu tak nak duit dia pon, perempuan tu pun tak mintak nafkah.

Jadi apa motif korang kahwin? sekadar nak lunaskan cinta lama yang tak kesampaian? sakit hati aku dengar. Perit. Ibu aku dengar lagi perit. Ibu tak pernah tinggal solat, dia selalu mengaji.

Tapi lepas kejadian ni, makin kerap dia solat, makin kerap dia mengaji. Tapi emosi dia masih tak stabil.

Setiap kali dia emosi, dia persoalkan kenapa tuhan tak bagi perasaan redha dekat dia. Bila dia emosi, dia cakap macam dah takda agama. Nak bnuh diri dan sebagainya.

Ayah senang cakap, ikhlaskan hati, redhakan hati. Bukan dia dekat tempat ibu aku. Ibu cakap dia jadi macam ni sebab mereka berdua.

Masa ibu menangis, ibu akan cakap dekat ayah, tolonglah bantu dia pulihkan perasaan dia.

Ye memang ayah aku bantu, ayah aku pujuk, ayah aku ikutkan kata ibu. Tapi kadang, kata kata ayah aku tu menyakitkan hati ibu.

Sebab dia tak faham perasaan kena kahwin lain. Boleh ayah cakap, bukan perempuan tu nak dekat dia tapi dia yang nak dekat perempuan tu. Manalah ibu tak mengamuk lagi.

Ayah selalu cakap, mintak kekuatan dekat Allah, banyakkan solat. Tapi ibu dah buat dah semua tu.

Tapi emosi dia masih sama. Aku ada pesan dekat ibu, pelan pelan ikhlaskan hati. Buatlah aktiviti apa apa, busykan diri.

Tapi ibu cakap dia tak boleh. Otak dia asyik teringat dekat perampas tu dengan ayah. Bila ibu emosi, dia akan cakap apa yang dia rasa, dia hembus semuanya, itu membuatkan ayah juga emosi.

Sekarang, aku tengah final exam. Tetapi aku tak boleh fokus sebab aku sentiasa dengar dieorang bertekak. Ibu aku menangis.

Aku rasa serabut. Aku rasa nak mengamuk. Aku rasa nak lari rumah nak balik rumah sewa dekat uni.

Tapi aku tak sampai hati nak tinggal ibu dalam keadaan macam ni, Aku dah penat. Telinga aku dah tak boleh dengar ibu aku menangis. Aku jadi sakit hati bila dengar ibu menangis.

Setiap hari aku akan menangis mengenangkan masalah dalam rumah ni, ditambah tekanan assignment yang menimbun dan final exam. Tapi semua orang tak tahu.

Aku cuma mampu diam, tapi dalam hati aku bagaikan gunung berapi yang tinggal tunggu masa nak meletup.

Ayah dah cuba bawak mak berubat Islam. Masih sama. Hati dia masih tak tenteram. Hati dia masih berkecamuk.

Ayah akan call bini kedua dia tiap malam dekat luar rumah, mak akan senyap senyap tengok. Aku pesan, tak payah tengok, sebab itu salah satu benda yang akan trigger emosi dia.

Setiap kali dia menangis, ibu akan datang dekat aku dia akan cakap, ”tolonglah ibu, hati ibu sakit”. Aku tak mampu nak cakap banyak. Aku cuma mampu cakap, bersabarlah ibu. Ibu kuat.

Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi. Aku tak tahu nak bagi sokongan macam mana lagi. Aku cuma mampu jadi pendengar jer.

Tapi bila aku dengar apa ibu aku cerita. Hati aku jadi sakit. Aku marah dengan ayah. tapi aku tak mampu nak buat apa apa sebab aku hanyalah anak.

Aku ada perancangan nak bawak ibu pergi pskiatari, tapi aku takut kalau ibu akan ditahan wad, dan kena makan Ibu. Ubat tu pasti akan memberikan kesan lain. Sama ada tidur berlebihan dan sebagainya.

Aku nak keluarga aku kembali macam biasa. Aku dah penat. Benda ni cukup buat mental aku koyak. Kadang aku rasa nak toreh toreh tangan aku. Rasa nak drive laju laju, dada aku ni sesak.

Kalau boleh aku nak jerit sekuat hati. Dada aku sentiasa berdebar, jantung laju, tangan sentiasa shaking, hati rasa tak selesa. Aku ada masalah anxiety tapi aku masih mampu mengawal anxiety aku.

Sekarang yang aku risaukan adalah ibu. Ibu selalu cakap, bila semua benda ni nak berlalu. Haih.

Kalau korang ada group support atau apa apa pendapat tentang masalah aku, korang boleh tulis dekat komen. Aku akan baca satu satu. Tolonglah aku, Terima Kasih…