Aku minta suami jumpa dan bawa balik anak tu. Mungkin kami boleh jaga terus anak tu

Dah lama saya hendak menulis perihal anak tiri saya ini. Disebabkan muncul kisah adik Amir minggu ni buatkan saya teringat akan anak tiri yang tidak pernah saya jumpa.

Saya dan suami berkenalan di mana masing masing ketahui status masing masing yang masih bujang.

Namun setelah mengenali dengan lebih rapat dan berkeputusan untuk bertunang bakal suami saya ni membuat kejutan yang menyatakan beliau merupakan seorang duda anak sorang.

Yang ironiknya setelah berpisah selama 10 tahun (tidak berhubung) mereka rupanya hanya berpisah tanpa disahkan percerraiannya.

Masing masing mahu move on dan sudah mempunyai pasangan masing masing. Jadi proses percerraian berjalan dengan lancar dan saya menerima dengan setulus hatinya akan status suami saya.

Namun untuk maklumat para pembaca, anak tiri saya merupakan anak luar nikah dimana suami saya dan bekas isterinya terlanjur ketika masih bersekolah.

(Bernikah ketika kandungan usia 7 bulan) Dan setelah dipersetujui suami saya memberikan belanja nafkah kepada anak pertamanya tiap bulan kepada bekas isteri.

Namun apa yang saya ketahui anak tiri saya ini bukan dijaga sepenuhnya oleh bekas isteri tapi diberi kepada mak ayah sedaranya sejak bayi di kampung.

Saya tidak pernah berjumpa baik bekas isteri atau anak tiri saya itu tapi pernah bertanya kepada sepupu suami yang bersekolah sekali dengan anak tiri saya itu.

Apa yang diceritakan buat saya betul betul sedih.

Tidaklah didera macam aruwah Amir itu tapi kelihatan selalu bersendiri dan sering bertanya bila ibunya nak balik kampung untuk bawak jalan jalan. Dan pernah bertanya untuk berjumpa dengan ayahnya sendiri.

Oh ya, anak tiri saya ikutkan berumur 14 tahun untuk tahun ini. Saya juga mempunyai Anak anak yang baru setahun dua.

Tujuan saya menulis ini bukan apa tapi saya ingin pembaca memberikan pandangan kisah keluarga saya ini.

Oleh kerana saya sedih memikirkan anak tiri yang mungkin kurang perhatian, dimana suami saya juga tidak pernah berjumpa bertahun tahun sejak anak itu berumur 2 bulan oleh kerana dipisahkan terus ketika mereka bergaduh.

Melibatkan hal keluarga ketika itu, mereka (ayah sedara bekas isteri) melarang suami dan keluarga untuk berjumpa dengan anak tersebut.

Saya pernah meminta suami untuk berjumpa dan membawa kembali anak tersebut dalam keluarga kami. Mungkin ada rezeki lebih kami boleh terus menjaga jika dizinkan. Namun suami saya berkata tidak bersedia.

Bila saya tanya, tidak bersedia dari segi apa. Dia ceritakan kembali, kisah anak tersebut dengan dia pernah berkahwin hanya segelintir keluarga yang tahu.

Jadi dia tidak mahu menjawab jika ada yang tanya budak tu siapa dan sebagainya.

Selain itu, dia juga tidak ingin membawa kembali memori pahit terhadap ibu bapanya oleh kerana pernah dimaki dan dimalukan ketika hendak berjumpa dengan anak tersebut ketika kecil.

Dia berkata ibunya telah move on dari kisah anak pertamanya ini. (Ibunya telah jaga anak tersebut sejak lahir namun dipisahkan ketika anak tersebut 2 bulan oleh kerana suami dan bekas isterinya bergaduh).

Jadi dia tidak bersedia hendak membawa kembali anak tersebut dalam keluarga takut ibunya teringat kembali kisah sedih dulu.

Saya hanya memikirkan kebajikan anak tersebut dan ingin melihat dia gembira dapat berjumpa dengan ayah kandungnya sendiri.

Tapi oleh kerana perasaan tidak ready ataupun boleh saya panggil mungkin ego suami saya membuatkan dia berkeputusan untuk tidak berjumpa buat masa ini.

Perlukah saya memberikan suami saya ruang atau terus mendesak suami untuk berjumpa dengan anaknya sendiri. Sekian..