Hujung minggu aku bawa orang tua aku beli barang. Isteri memamg tak bantah walau tak dapat pun balik kampung dia

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Aku Din. Berumur pertengahan 30an. Ayah kepada dua puteri dan suami kepada seorang isteri.

Isteri aku, N berumur akhir 20an. Seorang yang tegas pada anak anak, sangat menghormati orang tua dan agak pendiam. Kami sudah berkahwin hampir 7 tahun.

Aku tak tahu bagaimana nak mulakan sebenarnya. Maklumlah, bukan seorang penggarap cerita. Cuma apa yang aku nak kongsikan disini adalah mengenai isteri dan ibu aku.

Ibu aku berumur akhir 60an dan masih sihat. Duduk di kampung bersama ayah yang juga masih sihat. Alhamdulillah.

Sejak dari awal perkahwinan lagi setiap minggu aku akan pulang ke kampung memandangkan aku anak tunggal.

Jadi setiap hujung minggu, menjadi tugas membawa orang tua aku membeli barang. Jarak perjalanan sehala dalam 2 jam perjalanan.

Rumah mertua aku lebih dekat tapi memandangkan setiap hujung minggu aku pulang ke kampung jadi kami hanya akan ke rumah mertua untuk makan malam sekali seminggu.

Family mertua Alhamdulillah memang baik baik dan memahami. Walaupun adik beradik isteri aku 9 orang, semua sangat rapat dan saling membantu.

Isteri aku tak pernah membantah walaupun balik setiap minggu ke kampung. Malah dia yang selalu ingatkan aku untuk telefon ibu di kampung setiap hari.

Cuma yang aku perasan semakin lama isteri aku semakin pendiam bila pulang ke kampung.

Pada awal nya dia mengadu yang ibu macam tak suka kalau dia ikut ke kampung. Kalau balik ke kampung, setiap kali keluar membeli belah atau kerumah saudara ibu tak benarkan isteri aku ikut dengan alasan jaga rumah.

Isteri aku tak membantah walaupun di tinggal sorang berjam jam lamanya.

Malah bila aku utarakan pada ibu kenapa isteri aku harus tinggal, selalunya isteri aku mengalah dan cakap yang dia ok saja.

Takpe pergi saja katanya. Tapi lama kelamaan apa yang dia buat seolah ibu tak boleh terima.

Aku tak tahu macam mana lagi nak tegur ibu. Bila aku tegur ibu akan kata jangan jadi anak derhaka. Jadi isteri aku diam saja. Aku tau dia makan hati.

Bayangkan, bila isteri aku basuh pinggan dan basuh keliking sinki ibu aku akan bising kata isteri aku geli dengan sinki dia sebab tu disental nya sinki.

Tapi itu lah tabiat isteri aku dekat rumah setiap kali kalau basuh pinggan dia akan pastikan sinki die berkilat sama.

Bila isteri aku menyapu dia akan kata isteri aku geli dengan lantai rumah dia. Jijik lantai berminyak tapi tak kan isteri aku nak duduk melepak saja depan tv.

Sudah 7 tahun perkahwinan ada saja topik yang ibu tak puas hati dengan isteri aku. Ayah langsung tak main peranan. Ayah memang sejenis tak ambil pusing.

Pernah sekali family mertua aku datang bertandang dan borak dengan ibu. Banyak lah cerita mertua aku sebab dia memang sejenis suka berborak.

Tapi bila family mertua aku pulang ibu kata pada isteri aku yang mak mertua aku tak suka aku balik kampung sebab tu family mertua aku datang nak tengok keadaan anak dia di kampung.

Padahal aku ada saja dekat situ masa mertua aku borak sikit pun aku tak dengar apa yang ibu aku kata tu.

Family mertua aku cuma singgah sebab ada kenduri berdekatan kawasan. Itu saja. Akhirnya sampai sekarang keluarga mertua aku tak datang lagi.

Mungkin isteri aku yang bagitau mak dia tapi aku tak salahkan dia. Kalau aku di tempat dia pun aku akan ambil hati.

Bila dah nak masuk 7 tahun perkahwinan ni isteri aku dah mula stress setiap kali balik kampung. Walaupun cuma tidur 1 hari dua malam ada saja topik yang ibu akan bahaskan. Itu salah, ini salah.

Cebok anak waktu malam sebab berak salah. Isteri aku pula sejenis kalau anak berak wajib cebok dia tak nak pakai tisu basah.

Sebab anak yang kecil tu pun dah masuk 1 tahun 8 bulan. Bukan bayi baru lahir. Kalau nak ikutkan banyak lagi benda yang isteri aku buat salah pada mata ibu.

Aku tau isteri aku pendam dan tertekan. Tapi aku tak tau apa harus aku buat. Kalau aku tak bawa isteri aku pulang ke kampung lagi panjang kisah nya nanti.

Harap pembaca semua doakan lah semoga isteri aku kuat dan ibu aku tak mudah bersangka buruk pada orang terutama isteri aku.

Aku sayang dia dan aku tak nak kehilangan dia. Aku takut kalau suatu hari nanti di tekad dia akan tinggalkan aku sebab pernah dia cakap,

“Jangan sampai saya buat pilihan. Sebab kalau saya pilih, awak tak kan suka pilihan saya”.