Ahmad macam terburu-buru berkahwin baru dengan Izza. Family tak pernah tengok muka dia

Assalamualaikum, hi pembaca sekalian. Sebelum ni aku pembaca tegar je kat page ni tetibe hari ni tergerak hati pulak nak buat luahan jugak kat sini.

Bukan mengenai aku tapi berkaitan dengan adik lelaki kesayangan aku dan keluarga (kami).

Maaf jikalau susunan ayat berterabur sebab ini kali pertama aku menulis di ruangan seperti ini.

Nama aku Aminah (of course bukan nama sebenar), sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahayamata.

Aku ada 2 orang kakak, 2 adik lelaki dan seorang adik perempuan. Ibu masih ada, kakitangan awam yang sudah lama pencen manakala ayah sudah lama meningggal dunia.

Cerita ini berkenaan adik lelaki aku yang ke-2, aku namakan dia Ahmad (bukan nama sebenar).

Berumur akhir 20-an dan sedang menuntut diperingkat PhD di sebuah institusi pengajian tinggi.

Ahmad baru sahaja bercerrai awal tahun lepas dengan isterinya, Raihan (bukan nama sebenar) dan tidak lama selepas bercerrai, Ahmad sudah pun berkahwin baru dengan bekas teman sekuliahnya. Aku namakan perempuan ni sebagai Izza.

Perkahwinan bersama Raihan yang bertahan hampir sedekad runtuh sekelip mata setelah Ahmad berkenalan dengan Izza.

Untuk pengetahuan pembaca, Ahmad dan Raihan PJJ dari mula berkahwin sehingga mereka berpisah.

Hanya pernah tinggal bersama selama 2 tahun sahaja sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Ibu dan kami adik beradik tidak pernah campur tangan dalam urusan rumahtangga masing masing.

Kalau mereka bercerita barulah kami dengar dan bagi nasihat apa yang patut tapi segala keputusan kami tidak pernah masuk campur.

Bila percerraian ini berlaku, kami sekeluarga terlalu sedih dan amat marah dengan perbuatan Ahmad kerana Raihan dan keluarganya tersangatlah baik.

Keluarga kami agak rapat dengan keluarga Raihan dan pernah beberapa kali bercuti bersama sama.

Sebelum mereka bercerrai, Ahmad ada memberitahu keluarga bahawa dia akan bercerrai dengan Raihan.

Alasannya tiada persefahaman lagi di antara satu sama lain dan tiada zuriat juga menjadi punca kepada percerraian tersebut yang bagi aku, itu adalah alasan semata mata kerana Ahmad sebenarnya telah merancang untuk berkahwin dengan Izza.

Sudah berbuih mulut kami menasihati Ahmad untuk berfikir sebaik baiknya keputusan untuk bercerrai kerana sudah hampir sepuluh tahun berumahtangga,

Takkan lah tiada rasa sayang langsung kepada Raihan, tapi Ahmad telah tekad dengan keputusannya kerana Raihan tidak rela untuk dimadukan.

Walaupun kami sedih, terkilan dan marah dengan keputusan Ahmad untuk bercerrai dengan Raihan, kami tahu kami terpaksa juga menerima keputusan Ahmad kerana itu adalah jalan yang dia dan Raihan pilih.

Aku juga pernah beberapa kali melihat Ahmad menangis selepas solat, mungkin melepaskan rasa berat dengan perasaan dan keputusannya.

Aku pernah bertanya tapi dia hanya menjawab dengan bertanya aku kembali sama ada aku kesian pada dirinya atau pada Raihan.

Ibu juga tidak mampu berkata apa apa kerana Ahmad merupakan anak kesayangannya. Selalu membantu Ibu membaiki mana mana bahagian rumah yang rosak, membersihkan kawasan rumah dan menjadi imam solat berjemaah sekiranya Ahmad pulang bercuti di kampung.

Apa yang mengganggu kami sekeluarga adalah Ahmad seperti terburu buru berkahwin baru dengan Izza.

Kami sekeluarga tidak pernah bersua muka dengan Izza mahupun keluarga Izza. Bagaimana mungkin mahu menerimanya masuk dalam keluarga kami.

Kami sudah menasihati Ahmad supaya bertenang dahulu dan habiskan pengajian PhDnya yang hanya tinggal sedikit sahaja lagi sebelum berkahwin tapi nampaknya nasihat kami seperti mencurah air ke daun keladi.

Sudahlah merampas Ahmad dari Raihan, Izza juga telah merampas adik kesayangan kami jauh dari keluarga kerana Ahmad sekarang sudah tidak lagi aktif berbalas mesej di dalam chat group keluarga kami.

Panggilan telefon apatah lagi, sudah tiada sejak mereka berkahwin. Aku pernah merisik berkenaan Izza dan keluarganya dari Ahmad juga melalui carian di internet, bukan calang calang juga orangnya.

Ibu ayahnya berjawatan professional dan berpendidikan tinggi tapi pelik pula boleh dengan senang sekali menikahkan anak perempuan mereka dengan adik lelaki kami tanpa berkenalan terlebih dahulu dengan keluarga masing masing.

Mereka berkahwin di pejabat agama semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan dilaksanakan dan rentas negeri tidak dibenarkan.

Ahmad ada menghubungi aku beberapa hari sebelum pernikahannya untuk turut hadir ke majlis tersebut kerana aku berada satu negeri dengan Ahmad tetapi aku tidak ada hati untuk turut serta.

Aku takut aku tidak dapat mengawal perasaan marah aku dan membuat kecoh di majlis tersebut.

Teringin sebenarnya kesana dan menampar muka Izza kemudian balik ke rumah. Tapi keluarga kami tidak diajar untuk berkelakuan seperti itu, jadi itu hanyalah imaginasi liar aku semata mata. Hahaha.

Jadi disini, aku ingin meminta pendapat pembaca sekalian. Sekiranya anda ditempat kami, apakah reaksi anda dan bagaimana penerimaan anda terhadap Izza dan Ahmad?

Kami sayang Ahmad, kami cuma marah dengan perbuatan dan keputusannya yang memilih untuk bercerrai dengan Raihan dan terburu buru berkahwin dengan Izza yang langsung tidak kami kenali.

Mungkin masa akan mengubah segalanya, Allah sahaja yang tahu. Pendapat dan komen anda semua kami dahulukan ucapkan terima kasih.

Sekian…