Salmah kerap ingat pada Haikal. Asyik nak jumpa sahaja. Dah macam meroyan, pagi petang siang malam ingat haikal

Assalamualaikum semua pembaca. Pertama tamanya aku nak ucapkan terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan cerita aku ni.

Nama aku Mira. Tapi kali ni aku bukan nak bercerita tentang kisah aku. Aku nak cerita pasal isteri kepada pak cik aku. Kiranya makcik aku la. Nama makcik aku ni Salmah.

Untuk pengetahuan korang, mak cik aku ni memang lawa la masa zaman muda. Orang cantik, mestila menjadi perhatian ramai lelaki di luar sana.

Tapi Salmah tak belajar tinggi. Lepas SPM, dia pun bekerja di kantin salah sebuah sekolah di Perak.

Ada seorang kerani (Haikal bukan nama sebenar) di sana selalu juga lah pergi ke kantin kat makcik aku kerja tu, sambil borak borak dengan makcik aku.

Makcik aku ni memang peramah pun. Dia tak gatal, tapi memang banyak mulut la. So dia layan semua orang sama je.

Nak dijadikan cerita, ada suatu hari tu, Haikal tu luahkan perasaan dia kepada makcik aku. Dan makcik aku dah tolak baik baik tapi si Haikal ni tak puas hati cinta dia ditolak, dia maki makcik aku.

Makcik aku apa lagi memang menyirap terus, makcik aku pun panas dengan laki tak reti bahasa ni. Terus makcik aku maki dan ludah dia. Itulah detik permulaan keseksaan hidup makcik aku.

Dipendekkan cerita, Haikal pun menyesali dan ingin menebus kesalahannya. Haikal membelikan Salmah nasi goreng kampung berlaukkan telur mata.

Kegemaran makcik aku. Hampir setiap hari dia akan datang dan membawakan bekal untuk mak cik aku.

Haikal memohon maaf kepada Salmah atas keterlanjuran perbuatannya itu. Haikal ingin berbaik dan menjadi kawan Salmah.

Selepas peristiwa itu, Salmah asyik teringatkan Haikal. Asyik nak jumpa. Kalau sehari tak berjumpa, rasa tak lengkap hidupnya. Ibaratnya macam orang meroyan. Pagi petang siang malam asyik teringatkan Haikal.

Salmah yang dulunya rajin solat, jadi culas sekarang. Oleh sebab mak Salmah ni garang, dia memang paksa Salmah untuk solat jugak.

Keadaan ni menimbulkan kehairanan kepada orang tua Salmah. Salmah ni bagitau mak dia yang dia nampak kelibat Haikal kat luar rumah. Padahal Salmah ni duduk di kuarters polis.

Oh lupa nak bagitau yang dia nk anak anggota polis. Bukan sembarangan orang boleh masuk ke dalam kawasan kuarters ni.

Rupa rupanya jelmaan Haikal tu adalah syaiitan. Sebab berkemungkinan lelaki tu dah guna guna kan si Salmah ni.

Ada satu malam tu, Salmah ni asyik meronta ronta nak keluar rumah sambil menjerit,

“Nak jumpa Haikal. Haikal ada kat luar.”

Menyedari keganjilan yang berlaku terhadap diri anaknya, mak kepada Salmah menahan anaknya dari keluar rumah dan membaca sedikit ayat ayat suci Al-Quran.

Hari demi hari, Salmah jadi tak tentu arah, mak ayah Salmah membuat keputusan untuk membawa Salmah ke rumah ustaz yang boleh berubat orang yang terkena benda benda mistik macam ni.

Jadi ustaz cakap memang Salmah ada minum benda kotor, dah terkena minyak pengasih. Rupa rupanya makanan dan minumam yang Haikal bagi tu dah diguna gunakan oleh Haikal.

Lepas daripada Salmah berubat dengan ustaz tu, dia jadi okay sikit. Tapi on dan off lah, macam tak 100% okay seperti sebelum tu.

Dipendekkan cerita, makcik Salmah aku ni dikahwinkan dengan pakcik aku yg bernama Abu (bukan nama sebenar) selepas dia dah okay sikit tu la, mereka dah kenal lama la. Cuma jarang jumpa.

So masa sebelum hari perkahwinan diaorang tu, ayah Salmah ni pnggil ustaz untuk “pagarkan” kawasan kuarters diaorang tu sebab majlis diadakan dalam kuarters tu je,

Ayah dia minta ustaz “pagarkan” sebab tak nak ada syaiitan syaiitan terlepas dan mengganggu majlis.

So alhamdulillah la mereka selamat jugak berkahwin dan berjalan lancar lah majlisnya.

Setelah seminggu berkahwin, Abu membawa Salmah pulang ke Johor dengan harapan Salmah dapat melupakan kisah silamnya dan memulakan hidup baru bersamanya.

Pakcik aku ni memang suami yang baik dan sentiasa bersabar melayan kerenah Salmah. Walaupun dibenci Salmah, Abu tetap melayannya dengan baik.

Hari demi hari, minggu demi minggu, Abu merasakan tiada sebarang perubahan pada diri isterinya. Malah sampai tahap Salmah langsung tidak mahu melihat mukanya lagi.

Oleh sebab dah mati kutu, Abu terpaksa menelefon ayah dan mak mertuanya di Perak dan menceritakan tentang keadaan Salmah pada mereka.

Tanpa melengahkan masa, mereka terus berikhtiar untuk membantu Salmah. Sampailah mereka berjumpa dengan bomoh orang asli. Bomoh ni nasihatkan untuk mencari sepasang belangkas yang melekat.

Orang tua Salmah berasa musykil dengan permintaan bomoh itu lalu mereka bertanyakan kepada seorang ustaz.

Ustaz bagitau boleh guna dengan tujuan untuk menyelamatkan rumah tangga tapi syaratnya tidak membnuh orang.

Selepas itu, ayah Salmah mengupah orang untuk menyelam mencari sepasang belangkas di lautan.

Nasib mereka baik sebab berjaya menjumpai sepasang belangkas yang duduk melekat antara satu sama lain. Sebab jarang jarang boleh menjumpai belangkas seperti itu.

Tanpa melengahkan masa, mak ayah Salmah bawa belangkas itu kepada bomoh tersebut, taktahu macam mana prosesnya, tapi akhir sekali belangkas itu ditukarkan kepada debu.

Oh ya, bomoh tu bagitahu yang melawannya adalah bomoh siam. Kiranya lelaki tersebut menggunakan bomoh siam.

Jadi selepas itu, mak Salmah pergi ke Johor dengan membawa debu belangkas tu untuk anak menantunya.

Sepanjang mak Salmah di sana, mak dia akan tabur debu belangkas itu dalam makanan dan minuman anak menantunya (dengan pengetahuan mereka).

Pakcik aku (Abu) jenis kaki masjid dan orang baik baik. Dia jadi geli tekak nak makan benda-benda macam tu, tapi dinasihatkan untuk turuti demi menyelamatkan rumah tangganya, dia akur. Bomoh itu menjanjikan pada hari ke-10, Salmah akan okay.

Jadi pada hari ke-10, dengan izin Allah, baru lah makcik aku Salmah ni nampak suami dia, baru lah tak benci suami dia.

Mereka sekeluarga bersyukur sebab Salmah kembali seperti orang normal, sebelum ni memang nampak macam tak keruan.

Selepas itu badan makcik aku ni jadi lemah sikit, jin jin dan makhluk halus suka dekat dengan makcik aku,

Ada pernah seorang yang ada ilmu sikit ni bagitau makcik aku, jin suka bau makcik aku. Jadi sebab itu mereka suka dekat dengan makcik aku, sebab makcik aku dah pernah minum dan makan benda benda kotor.

Oh ya, akhir sekali, lepas dah bertahun tahun lamanya, makcik aku baru tahu yang Haikal sudah meninggal dunia. Semoga Allah mengampunkan dosa dosanya.

Jadi pengajarannya kat sini, kalau kita tak suka orang tu, tolak lah dengan baik baik, dan kalau kita ditolak pun, terima lah dengan berlapang dada.

Mungkin kita akan dapat orang yang lagi baik, janganlah berdendam, susah hidup semua nanti.