Saya tak pernah pun komplain pasal ayah isteri sebab saya betul-betul nak jaga hati isteri Tapi isteri buat mak saya nangis

Nama aku Amli. Usia perkahwinan aku dan isteri dah menjangkau 4 tahun. Dikurniakan seorang cahaya mata.

Sedikit latar belakang keluarga, aku anak bongsu daripada 2 adik beradik. Dibesarkan dalam keadaan sederhana, ayah sangat cool, ibu pula sedikit tegas tapi jenis yang ‘berkawan’ dengan anak.

Boleh sembang luar dalam. Tiada rahsia. Boleh dikira berapa kali aku dan abang aku kena marah semasa kami kecil. Rotan memang kami jarang sangat merasa.

Kebetulan kami berdua jenis senang dijaga. Tak nakal, tak suka keluar malam. Ayah meninggal dunia 3 tahun lepas. Sekarang ibu tinggal seorang diri di kampung.

Isteri masih ada mak dan ayah. Ayah mertuaku bekas askar. Berpendirian tegas. Kalau biru tu biru la. Jangan bantah. Suara lantang dan garau, jenis yang ditakuti anak anak.

Anak anak masa kecik memang biasa makan pelempang orang tua ni. Dia juga tegas dalam memilih menantu.

Antara syarat jadi menantu, mesti kerja kerajaan, sihat tubuh badan. Soalan pertama diajukan semasa sesi ‘interview’, ‘mak ayah ada sakit apa?’

Dia akan tanya direct, ada ambil barang ke tak, hisap rkok ke tak. Anak anak semua mesti usaha cari kerja kerajaan.

Kalau dah dapat kerja kerajaan tapi pindah kerja swasta, dia halau kau terus. Mak mertuaku pula cool. Soft spoken.

Dipendekkan cerita, walaupun berlandaskan nilai moral yang sama, cara aku dan isteri dibesarkan agak berbeza.

Isteri seorang yang panas baran (seperti ayahnya). Kau tak dapat jangka bila angin dia datang. Sebab kecil jadi besar.

Aku pula, seperti majoriti kaum suami, malas nak cari pasal. Kalau boleh elak konflik, aku elak. Aku cool macam aruwah ayah.

Selepas kematian ayah, sekali sekala aku akan bawa mak aku datang ke rumah 4-5 hari dalam sebulan. Kesian dia kesunyian sebatang kara.

Seperti kebiasaan mak mak kita, kalau datang rumah bawa buah tangan, makanan. Mak sedia maklum kami sibuk bekerja. Jadi kadang kadang dia datang dengan pakej bawang, rempah rempah, ikan bilis untuk dimasak di rumah kami.

Kalau boleh dia tak nak menyusahkan kami berdua. Baju kami pun mak akan rajin lipat. Faham faham la bila sibuk bekerja, lepas cuci kadang kadang nak sidai pun terlupa.

Cucu pun dia suka nak jaga. Kadang kadang kami tak hantar ke taska sebab mak nak jaga.

Saban hari aku perhatikan isteri tak suka dengan apa yang mak buat. Katanya mak sengaja buat begitu sebab nak perli dia yang sibuk hingga tak sempat mengurus rumah tangga.

Tak suka mak uruskan pakaian, tak suka mak datang bawa bawang, ikan bilis. Dia kata mak nak ambil alih tugas dia pulak.

Aku tahu niat mak ikhlas nak membantu. Biasalah kadang kadang dia tegur isteri beberapa perkara.

Aku selalu nasihat isteri supaya bersabar. Bila berkahwin, kita kahwin dengan family sekali. Apa apa kekurangan family sebelah sana tu, telan jelah.

Kita nak hubungan berkekalan. Kami kerap bertengkar disebabkan perkara ni. Aku jadi serba salah.

Aku kesian kan mak yang nak menumpang kasih sayang anak. Dan aku tak nak isteri rimas dengan cara mak aku yang suka cakna bermacam benda.

Pernah aku kongsi cerita dengan kawan kawan dipejabat, ramai parents mereka macam mak aku. Perangai mak mak suka ambil tahu pasal anak walaupun dah berkahwin.

Kadang kadang bila tau kita tengah sesak, dia pulak hulur duit kat kita. Perkara ini jelas berbeza dengan mertua aku. Ayah mertua kalau datang, kami sebagai host mesti bersiap sedia.

Rumah harus kemas, makanan harus cukup dan masa makan mesti makan. Lambat makan, perut masuk angin, dia akan tarik muka.

Aku respect mak mertua aku, atas kesabaran dia dengan suami. Tolong jaga cucu? Tengok tengok kan sekejap boleh la.

Kalau nak tinggal anak dengan mertua, nak dating berdua tengok wayang, jangan harap.

In short, mak aku suka nak tolong dan sibuk semua perkara. Mertua aku kalau datang umpama raja. Jangan tak tau, duit anak anak pun dia pau setiap bulan.

Alasannya dia dah bersusah payah besarkan anak dulu, sekarang masa untuk dia berehat dan menuai hasil.

Pertengkaran kami biasanya agak besar. isteri kalau dah angin satu badan, kau keluar hadis sahih pun dia tak peduli. Kau lawan salah, diam salah.

Memang biasa aku terima kata kata kesat. Kalau talak ni perempuan yang pegang, dah banyak kali aku kena cerrai dah hehe.

Di saat aku menulis ni kami sedang bertengkar kerana aku dan mak bawa anak aku pergi gunting rambut, tanpa isteri.

Aku tau salah aku, isteri dah pesan, nak gunting rambut anak tunggu dia. Aku terlupa, lepas tu anak dah cukup rimas rambut dah terlalu panjang.

Seperti biasa, isteri cakap mesti mak aku yang nak bawa gunting sangat ni. Mengucap panjang aku. Benci betul isteri dengan mak aku.. Kesian mak aku. niat nak tolong ringankan kerja kami je..

Gunting rambut je pun. Sebulan lagi panjang balik, kau bawak lah pulak gunting. aduhai..

Konflik menantu dengan mak mertua ni selalu aku baca di group group facebook. Tak pernah aku dengar lagi pak mertua konflik dengan menantu. Macam aku dengan pak mertua aku.

Aku langsung tak setuju cara dia. Macam langit dengan bumi kalau banding dengan aruwah ayah. Tapi aku pekak telinga je. Layan je.

Tak pernah aku komplen dengan isteri pasal ayah dia. Sebab aku tak nak mengguris hati isteri. Apa perasaan kalau orang kutuk kutuk parents kau sendiri.

Tapi isteri tak buat perkara yang sama. Dia pernah buat mak aku menangis dulu, dan sekarang dia cuba cari pasal lagi.

Seolah olah takde rasa kesian dengan mak aku yang dah sebatang kara, nak menumpang kasih dengan anak cucu sekali sekala..

Apa yang aku nak simpulkan di sini, suami adalah mngsa keadaan sebenar bila terjadi konflik wanita ni. Serba salah dibuatnya.

Worst case scenario, suami cerraikan isteri. Yang jadi mangsa, anak anak. Doakan aku tabah dan diberi kesabaran menempuh hari hari mendatang..