Papa kerja dekat KL sorang-sorang. Dia kadang balik sebulan sekali je, itupun lepas gaji

Assalamualaikum. Aku Alia, berumur 24 tahun, baru graduate dari universiti dekat pantai timur. Terima kasih admin kalau cerita ni disiarkan.

Aku tiada sesiapa nak luahkan disebabkan hal yang aku nak ceritakan ini perkara aib, jadi aku luahkan di sini.

Aku anak ketiga dari 4 beradik. Mama seorang surirumah yang berniaga nasi lemak dan papa aku askar yang dalam proses nak pencen.

Papa tinggal kat KL seorang, bekerja di sana dan hanya balik sebulan sekali selepas gaji. Dah dekat 10 tahun hidup kami sekeluarga macam ni.

Papa tak macam papa lain. Sepanjang dah 10 tahun mama dan papa tinggal berasingan, papa cuma jalankan tanggungjawab dari segi nafkah duit belanja bulanan dan barang dapur.

Masa papa di kl, papa takkan pernah telefon untuk tanya khabar. Hanya mama yang akan telefon bila ada urusan penting.

Papa tak pernah ambil tahu kehidupan kami kat sini. Kami pun tak pernah tahu apa papa buat kat sana.

Bila papa balik hujung minggu selepas gaji, papa hanya tidur dan tengok tv. Bila mama ajak bersembang, papa tak pernah layan. Mama cuma cakap sorang2.

Papa tak pernah ambil tahu pasal mama, tak pernah ajak mama jalan2, shopping macam pasangan lain.

Sejak aku kecil, mama dah berniaga kecilan untuk bantu papa dalam belanja anak2. Papa tahu mama pandai cari duit dan jarang meminta dengan papa kecuali untuk urusan persekolahan anak2.

Untuk mama sendiri, mama tak pernah minta apa2 dari papa. Walaupun sekarang papa dah senang. Papa banyak duit, tapi nafkah sebulan papa masih beri RM800 sebulan untuk mama.

Aku yang tinggal dan hidup dengan mama tahu yang 800 tak cukup, tapi mama tak pernah sekalipun menyusahkan papa.

Mama berniaga dan cari duit sendiri untuk menampung perbelanjaan. Itu serba sedikit kehidupan kami sebelum aku ceritakan lebih lanjut.

Perkara ni bermula waktu aku berumur lebih kurang 12 tahun, waktu kami masih tinggal sebumbung dengan papa di kl, aku pernah terjumpa mesej papa dengan perempuan lain.

Aku tak pernah ceritakan isi mesej tu pada sesiapa sebab aku sendiri malu nak sebut apa yang mereka bualkan.

Aku cuma diamkan. Tak lama selepas tu, mama dan kami anak2 berpindah ke kampung. Dan masa tulah, papa kantoi currang. Jiran kami masa di kl yang beritahu mama.

Mama cuma tenang. Mama tak pernah smamak2 cari perempuan tu. Tapi aku dengar mama solat dan menangis malam2.

Mama tanya papa tapi papa cuma diam dan perkara tu berlalu. Dah 12 tahun perkara tu. Aku fikir papa dah berubah. Bila tengok papa rajin solat awal waktu. Tapi aku silap.

Hari ni, 1.1.2020, papa balik. Biasanya papa akan sampai dalam pukul 3 pagi. Dah bertahun macam tu. Aku tahu agak pelik dan aku sendiri pun pelik dengan perangai papa.

Tapi sebelum ni aku malas nak ambik tahu dan aku pasti mama juga malas berburuk sangka pada papa. Tadi selepas mama dan papa keluar hantar adik bongsu aku ke sekolah asrama, aku kemaskan rumah.

Aku cari hanger dalam almari mama nak sidai kain. Ternampak beg pakaian papa kat tepi almari. Aku geledah beg papa dan jumpa handphone kedua papa. Tak ada password.

Aku tahu tak baik berburuk sangka tapi seperti yang aku jangka, papa masih buat perkara tu. Aku jumpa conversation papa dengan perempuan lain dan mereka baru balik bercuti bersama beberapa hari lepas. Papa tak pernah berubah.

Aku tahu mama tak berapa pandai menjaga diri, menjaga kecantikan. Mungkin sebab itu papa makan luar. Tapi papa tak pernah menghargai mama.

Segala apa yang mama dah buat untuk papa, untuk kami, buat aku fikir papa tak layak untuk bergelar sebagai suami mama lagi.

Mama banyak makan hati sejak mereka awal2 kahwin sampai sekarang dah dekat 30 tahun. Tapi sekalipun mama tak pernah cerita buruk papa pada sesiapa.

Mama bangun pagi buat nasi lemak buat kuih untuk sara kami adik beradik. Papa tak pernah tahu mama susah.

Tapi ini yang papa balas dekat mama. Bencinya aku pada papa sekarang ni. Aku tak tahu perlu atau tidak aku ceritakan pada mama dan abang2 aku.

Sekarang ni apa yang aku rasa tak ada papa pun tak apa. Nak sangat aku tunjukkan bukti yang aku ambil tadi, tunjuk pada mama dan suruh mama mintak cerrai. Selama ni pun papa ada atau tak ada, sama saja.

Aku pun dah habis belajar aku boleh tanggung mama dan adik. Aku tak kahwin pun tak apa. Aku nak jaga mama aku nak sentiasa dengan mama sampai bila-bila. Papa tak layak untuk isteri syurga macam mama.

Pada suami di luar sana, tolong jangan jadi macam papa aku. Akhir kata, mohon para pembaca doakan agar aku dipermudahkan segala urusan.