Maaf Ibu, adik tak bermaksud nak lukakan hati ibu. Alangkah baiknya jika pinangan itu tidak saya terima

Saya merupakan anak bongsu untuk 10 tahun. Ke mana-mana, sayalah yang akan dibawa ibu dan ayah saya. Saya ada ramai adik beradik lain,

cuma pada ketika itu sayalah yang bongsu. Sehinggalah saya mendapat seorang adik lelaki & abang saya yang sudah dewasa meninggal dunia.

Itulah titik yang mengubah keluarga kami. Ujian yang datang itu terlalu hebat untuk ibu saya. Sehinggakan dia seakan depresi.

Tapi saya tahu, dia cuba melawan nya. Keluarga yang harmoni&penuh kasih sayang itu berantakan. Sungguh ujian kehilangan itu amat hebat.

pelajaran saya terkesan & apabila saya mampu bangkit dan hadiahkan kejayaan itu kepada ibu&ayah saya. Manis. Sangat manis. Maka saya semakin bersemangat!

Sehinggalah saya berjaya ke universiti. Saya ada misi, memberikan kebahagiaan kepada mereka. Alhamdulillah saya mendapat ijazah saya dan berjaya mendapat kerja.

Kesibukan kerja & belajar sangat berbeza. Walau saya berjaya siapkan segalanya untuk ibu & ayah. Saya kurang masa dengan mereka.

Walaubagaimanapun tetap saya usahakan meluangkan masa kerana kami masih serumah. Sehinggalah arwah ayah saya jatuh sakit. Stroke & tidak mampu bergerak. Allahu. Saya terpempan.

Namun, terus saya usaha melihatkan ibu saya yang pada masa itu sudah tidak lagi bertenaga untuk menjaga ayah. 3 bulan lamanya arwah ayah sakit.

tiada apa dapat dilakukan oleh doktor. Kami bawa ayah pulang & arwah ayah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah.

Selesai urusan ayah, kini tinggal ibu saya. Saya niatkan untuk menjaga ibu saya. Saya usahakan untuk menemaninya ketika idah. Mengurangkan sedikit komitmen kerja.

Kami memberi kekuatan kepada satu sama lain. Mengisi kekosongan hati kami. Ke mana sahaja saya akan ditemani ibu saya. Kami menjadi semakin akrab. Berkongsi segalanya. Kami bahagia.

2 tahun selepas itu, saya dijodohkan melalui kenalan. Gembiranya ibu saya pada ketika itu. Walaupun saya tidak pasti dengan keputusan saya menerima lamaran suami,

tetapi melihatkan kegembiraan ibu, saya teruskan. Saya maklumkan kepada suami, sayalah yang akan menjaga ibu sekiranya apa-apa terjadi kepadanya.

Ibu saya seperti rakan seusianya, mempunyai penyakit kencing manis & darah tinggi. Selama kami tinggal bersama, sayalah yang menyiapkan ubat-ubatanya, membawa ibu ke semua temujanjinya.

Adik beradik yang lain sudah bekeluarga dan mempunyai komitmen masing-masing, kurang masa untuk diluangkan bersama kami.

Namun, saya perlu lebih pandai membahagi masa di antara tangungjawab sebagai isteri, anak dan kerjaya.

Akhirnya ibu saya dimasukkan ke wad, dan kemudian tinggal bersama saya. Suami saya kurang senang dengan kehadiran ibu di rumah walaupun dia mengizinkan. Menjaga orang sakit, memerlukan banyak pengorbanan.

Pada mulanya tidak begitu ketara. Namun semakin lama, semakin jelas. Ibupun berjauh hati dengan suami walaupun selepas suami memohon maaf.

Dalam kesibukan saya, saya berusaha menyelesaikan tanggubgjawab saya kepada suami.

Sedangkan saya sibuk dengan urusan kerjaya, urusan harian ibu saya, segala temujanji yang perlu kami hadiri.

Adik beradik saya membantu mengikut kelapangan mereka. Tetapi saya sangat bersyukur mereka banyak membantu ibu saya ketika koma dan tidak dapat bejalan.

Saya pula tidak memaksa adik beradik untuk menolong. Sudahlah ibu sakit, tak perlulah kita bergaduh adik beradik untuk menyuruh jaga ibu yang sakit.

Pada saya, masing-masing sudah dewasa dan tahu erti tanggungjawab.

Namun, saya tetap usahakan untuk membahagiakan ibu saya. Hebatnya dugaan menjaga ibu yang tua bukan lah dari segi memandikan, menyiapkan makan minum atau perubatan.

Tetapi dari pihak suami dan keluarganya. Walaupun sudah saya jelaskan kepada suami. Walaupun ibu saya terbaring lesu. Mereka tetap inginkan masa saya untuk mereka. Allah. Allah. Allah.

Ada ketika saya bertegas untuk tidak mengikut. Bercuti, kenduri kendara, berkumpul sekeluarga. Ibu saya sakit! Fahamilah.

Pada ketika itu, saya perlu menghantar ibu kepada adik beradik yang lain. Kepada sesiapa yang berkelapangan.

Maafkan adik ibu. Adik tak bermaksud nak melukakan hati ibu. Akhirnya ibu saya menghembuskan nafasnya di biliknya di rumah saya di waktu subuh, hari jumaat.

Dipenghujung hayatnya saya sempat mengatakan kepadanya. ‘Ibu, adik sayang ibu. Tentulah adik lebih sayangkan ibu dari suami adik. Adik usahakan semuanya untuk kita. Ibu maafkanlah adik’.

Sekarang, saya memujuk hati sendiri dengan mengatakan saya sudah berusaha semampu saya untuk menjaga arwah ibu. Saya hanyalah manusia yang tidak lari dari khilaf.

Saya berdoa semoga Allah s.w.t maafkan ibu saya, lapangkan kuburnya dan sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang ke atas rohnya.

Tidak lagi dapat saya siapkan dia, makan minumnya, berbual, bersenda. Semuanya tiada lagi. Yang tinggal hanya doa & amal yang boleh saya sedekahkan kepadanya. Al-fatihah.