Aku dijadikan sebagai seperti hamba oleh beliau lepas sambung pengajian lagi tinggi

Sedikit pengenalan tentang aku, nama aku nora. Berumur 28 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat master di salah satu universiti awam tanah air.

Masih lagi ‘single’ dan berstatus penganggur terhormat. Pengajian peringkat master aku mengambil masa selama 4 tahun untuk dihabiskan. Kenapa lama sangat? Mari aku ceritakan kisahnya.

Dari sekolah rendah lagi aku dikenali sebagai seorang pelajar yang pintar. Aku sering mendapat anugerah pelajar cemerlang dan sering mendapat pujian guru-guru kerana kepandaian aku di dalam pelajaran.

Di peringkat degree pula, walaupun kos dan subjek yang aku ambil agak ‘tough’, namun begitu aku berjaya menghabiskan pengajian aku dengan cemerlang.

Semuanya nampak mudah bukan untuk aku? Namun begitu, langit tidak selalu cerah, kadang-kala mendung juga.

Hidup aku menjadi ‘tunggang-terbalik’ sebaik sahaja aku melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu di peringkat ‘master’.

Di peringkat ini, hidup aku benar-benar diuji. Aku memilih mode ‘research’ untuk master dan kesalahan pertama aku adalah apabila aku tidak membuat kajian teliti tentang latar belakang ‘supervisor’ yang aku pilih.

Bagi aku semua guru adalah sama sahaja, tugasnya hanyalah untuk mendidik. Tanpa aku sedar, pemilihan ‘supervisor’ yang bagus adalah sangat penting agar peringkat pengajian ‘post graduate’ ini berjalan dengan lancar.

Kajian yang aku jalankan adalah kajian yang sangat baru dan sebagai seorang pelajar yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia ‘research’ aku perlukan bimbingan dan buah pandangan daripada beliau.

Setiap kali berjumpa pula, kadang-kadang beliau melepaskan kemarahannya padaku atas kesalahan yang tidak aku lakukan dan kadang-kadang pula aku hanya sempat berbincang tentang kajianku sedikit sahaja, selebihnya aku terpaksa mendengar keluhan-keluhan dan umpatan beliau pada orang lain.

Aku dan beberapa pelajar lain di bawah seliaan beliau juga sering juga dijadikan sebagai ‘hamba’ oleh beliau di mana kami sering diminta menemaninya ‘shopping’, mengajar anaknya tuisyen secara personal, mengambil dan menghantar anaknya sekolah, membeli barangan peribadi dan bermacam-macam lagi.

Kehidupan seharian aku bukanlah sibuk menjalankan kajian di makmal, tetapi sibuk menguruskan hal peribadi beliau.

Sekiranya aku dan sahabat lain tidak buat seperti yang diminta, beliau akan merajuk serta memburuk-burukkan kami satu fakulti serta pada pensyarah lain dan kami akan dimalukan.

Beban aku bertambah, di mana aku terpaksa membuat banyak kerja ‘part time’ untuk menanggung pengajian aku disebabkan mempunyai masalah kewangan.

Saat itu, badan aku sangat penat, otak aku letih, jiwa aku lemah. Kurasakan hidup aku huru-hara dan tidak tenteram. Aku banyak menangis sendirian.

Kalau dulu aku ada kekasih dan kawan baik untuk berkongsi masalah, kini aku hanya seorang diri memendam perasaan.

Aku ada bercerita yang kehidupanku sebelum ini sangat lancar bukan? Namun ia tidak berlaku untuk peringkat ini.

Disebabkan ujian-ujian yang aku hadapi, aku menjadi seorang yang sangat kurang yakin diri dan tidak bermotivasi.

Walaupun aku telah berjaya menghabiskan pengajianku, namun sedikit sebanyak kejadian yang berlaku sewaktu pengajian masterku memberi impak yang sangat besar dalam hidup aku.

Sampai sekarang, aku sering merasa sedih dengan apa yang berlaku dan sering merasakan diri seolah-olah tidak berguna. Aku hilang kekasih, aku hilang kawan baik.

Aku jadi seorang yang kurang percaya diri. Tambahan pula sekarang, aku belum lagi mendapat sebarang pekerjaan tetap meskipun sudah beratus-ratus resume telah aku hantar.

Kalau dulu hidup aku sentiasa ada matlamat, namun kini hidup aku kosong tanpa matlamat.Aku tak tahu, apa lagi yang aku perlu lakukan dan capai dalam hidup.

Umur aku telah menjangkau 28 tahun dan aku sering membanding-bandingkan diri aku dengan rakan-rakan sebaya yang lain.

Ada tak tips untuk tingkatkan keyakinan diri dan jadikan hidup aku positif kembali? Kalau nak kongsi kisah hidup pun boleh juga.

apa yang baik jadikan panduan, yang buruk jadikan sempadan. Terima kasih banyak-banyak aku ucapkan pada yang sudi memberi komen. Sekian.