Sebab cinta, Jamilah brtahan dan menjaga suaminya yg dah tak waras. Ada rahsia gelap yg ditutup erat

“Makanlah, ya Allah.. Kenapa dibuang?”

Jamilah mendengus menahan sabar. Wajah tuanya bertambah kerut. Husin menabur nasi ke lantai tanpa memperdulikan Jamilah. Bertepuk tangan lalu ketawa berdekah-dekah.

“Abang! Janganlah dibuang nasi itu!” Jamilah membentak Husin, suaminya.

Husin mengalih pandang ke arah Jamilah lalu merenung tajam. Jamilah terbejat. Ada sesuatu dalam renungan Husin yang membuatnya terdiam.

“Durhaka! Laknat! Laknat! Laknat!”

Jamilah, wanita yang menjadi suri ayah Kamila setelah kematian ibunya. Jamilah bukan orang lain, malah adalah sepupu arwah ibu Kamila.

Sama-sama membesar, sama-sama bersekolah, sama-sama jatuh cinta kepada lelaki yang sama. Namun lelaki itu memilih arwah ibu Kamila. Pergilah Jamilah membawa diri sehingga setahun kemudiannya, setelah arwah ibu Kamila dijemput Allah.

Wajah Kamila yang mirip sekali dengan arwah ibunya membuatkan Jamilah membenci. Walaupun pada mulanya Jamilah berjanji untuk memberi kasih sayang seorang ibu yang tulus kepada Kamila.

Masih terasa pedih di hati bila cintanya ditolak. Kenapa dia harus kalah? Malah dia sememangnya cemburu dengan arwah semenjak kecil lagi. Arwah cantik, bijak, selalu dipuji-puji. Sakitnya hati Jamilah mengenangkan semua itu.

Bertambah-tambah bengkak hati Jamilah apabila Husin iaitu ayah Kamila juga berlebih-lebih menatang anaknya. Apa lagi sekarang, Kamila sedang sarat mengandungkan cucu sulungnya.

Kamila diberi minum kononnya ubat menahan anak dilahirkan awal. Penawar dari bidan kampung kata, Jamilah. Air yang sudah dijampi dan dipuja menghidupkan semangat dunia gelap.

Diminum oleh Kamila dengan penuh harapan agar anaknya selamat. Air itu, membuka pintu kepada mahkluk gelap mengisi segenap pembuluh d***h Kamila dan menganggu kesihatan tubuh badannya sehinggalah membayangi minda Kamila dengan bayangan yang ngeri dan menakutkan.

Kamila dikatakan meroyan bila anak yang dikandung dilahirkan tidak cukup bulan meninggal. Anak yang ditunggu-tunggu, lahirnya berwarna kebiruan dan lebam.

“Pergi! Jangan ambil anak aku!”

Saban hari Kamila menjerit ayat yang sama. Kadang-kadang dia menangis pilu sepanjang malam. Sarimah mendesak Anwar mencari orang pandai untuk mengubat Kamila.

Anwar segera mendapatkan Jamilah, ingin membantu. Namun segera dibentak oleh Husin.

“Jangan engkau tolong dia! Dia telah m******h Kamila!”

Malam itu Husin mengamuk tidak tertahan. Hilang iman di dada kerana amarah. Nyawa-nyawa ikan Jamilah dikerjanya. Siapa yang menolong terkena tempias sekali.

Kudrat Husin tidak sepadan dengan usianya. Terbongkar segala rahsia yang disemat kemas di dalam hati.

Rahsia itu keluar dari mulut Husin sendiri. Bercakap seperti tiada kawalan.

“Aku… minyak pengasih… Hayati… janji…”

Husin menjerit nyaring selepas mengamuk dan meracau. Dia melihat susuk badan yang besar dan tinggi serta gelap datang menerpa lalu memeluknya erat.

Husin meronta sehingga kelemasan, namun mahkluk itu tidak melepaskannya. Akhirnya Husin tidak sedarkan diri.

***************
Jamilah mengesat air mata. Murah sungguh air matanya jika terkenang kisah lalu. Selepas kejadian di malam itu, Jamilah dan Husin memencilkan diri.

Hendak keluar dari kampung, tidak tahu hendak ke mana. Di situlah mereka menghabiskan sisa waktu berteman rasa malu yang amat sangat dengan orang-orang kampung.

Husin pula hilang akal selepas mengamuk pada malam itu. Racaunya menjadi-jadi. Kadang-kadang entah mantera jampi mana pula diulang-ulang olehnya sebelum meraung ketakutan.

Kerana cinta, Jamilah bertahan dan menjaga suaminya yang sudah tidak waras itu. Ya, kerana cinta ada satu lagi rahsia gelap yang ditutup erat oleh Jamilah.

Sehingga kini, tiada yang tahu Jamilah juga pernah menghantar santau kepada Hayati.Niatnya cuma satu, ingin mendapatkan tempat di hati Husin.

Sesalnya Jamilah tidak pernah dapat dilunasi. Siang malam dia solat taubat nasuha memohon ampun kepada Allah. Mulutnya tidak berhenti memohon maaf kepada Anwar.

“Aku maafkan, mak. Tetapi bagaimana mak hendak meminta maaf dengan arwah Kamila?” Ayat yang sama ditutur oleh Anwar.

Jamilah menangis lagi. Husin meraung ketakutan.

Tamat.
Ini sekadar kisah hiburan di waktu santai. Selamat membaca.