“Abang tak tahan” Rintihan Ira sambil pegang kuat tangan aku. Tersungkur aku bila dktor ckp mengenai Ira isteri aku

Asalamualaikum para pembaca budiman. Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada Admin sekiranya tulisan saya ini dipilih untuk disiarkan.

Pertama sekali benarlah di musim perintah kawalan pergerakan (PKP) ini kita ada banyak masa terluang sehingga menjebakkan saya membaca luahan perasaan para penulis di sini. Saya seoarang pelaut yang dikenali juga sebagai Offshore.

Saban minggu berada di Laut China Selatan sejak 10 tahun yang lepas. Saya pernah punyai kekasih sehebat ‘Balqis’, saya pernah punyai kesetiaan seikhlas Balqis, saya pernah rasai kasih sayang setulus Balqis.

Kekasih yang selama ini setia, sayang dan menunggu kepulangan saya sepanjang saya di lautan luas.

10 tahun lalu, talian di atas kapal tidaklah semudah sekarang. Dapat berhubung dengan yang tersayang 5 minit pun cukup lah. Begitulah setianya kekasih saya yang saya kenalkan sebagai Ira.

Kejadian itu membuatkan saya mengambil keputusan untuk mempercepatkan pernikahan kami.

Setelah berbincang, keluarga saya menghantar rombongan merisik dan diikuti pertunangan kami. Hanya disaksikan kedua keluarga. Majlis kecil yang cukup meriah.

Saya masih terbayang anggunnya Ira ketika majlis itu. Senyumnya cukup manis, ayu wajahnya mententeramkan hati saya, lembut tutur katanya sentiasa menenangkan jiwa saya.

Kehadiran Ira cukup menyempurnakan hidup saya. Saya terus bekerja mengumpul duit untuk menghalalkan Ira. Perancangan rapi untuk kehidupan selepas kahwin itu perlu.

Ira membentangkan kira-kira untuk perbelanjaan kahwin dan selepas kahwin kami. Saya bersetuju dengan perbentangan Ira. Perbentangannya cukup jelas. Allah…. Bagaimanalah saya tidak jatuh cinta dengan wanita ini?

Namun, dalam pada itu saya bahagia. Punyai isteri yang menyayangi saya setulusnya. Setiap kali itulah saya memujuk agar dia bersabar. Perjalanan hidup saya bersama Ira amat bahagia. Ira isteri yang sempurna di mata saya.

Namun, kami diuji. 3 tahun perkahwinan kami tidak dikurniakan anak. Ira sentiasa meminta maaf setiap kali membuat ujian kehamilan dan ternyata negatif.

Saya memujuknya, Allah tidak menjanjikan setiap perkahwinan itu akan dikurniakan zuriat. Kita bersabar dan berusaha lagi. Ira akur. Menjelang ulang tahun kami yang ke 4. Hadiah teristimewa dari Ira, isteri saya yang tersayang.

“Abang, Ira mengandung”.

Alhamdulillah syukur tak terkira. Tak sabar rasanya nak sampai ke rumah untuk berjumpa Ira! Tempoh 2 hari sebelum sampai ke darat amat lama dirasakan.

Sepanjang tempoh kehamilan, Ira tidak mengalami alahan teruk. Cuma baby suka minta makanan menjelang tengah malam. Menggelabah saya. Mana kan tidak, jika tak dapat, muncunglah wajah kesayangan saya itu.

Senyuman yang cukup membahagia dan mententeramkan hati saya. Menjelang hari kelahiran buah hati kami, Ira nampak gelisah. Dia kerap menyuarakan kerisauannya.

“Abang, kalau Ira tak ada nanti, abang kahwin lain tak?”. Saya ketawa. Saya tanyakan, “Sayang nak ke mana?”. Mukanya bertukar serius. “Mana lah tau, sayang tak sempat besarkan anak-anak kita.” Jelas kerisauan di wajah ibu kepada anak-anakku.

Saya jawab tenang,

“Sayang jangan fikir bukan-bukan sebab sayang dah janji nak bagi abang sedozen anak dan kita akan besarkan diorang sama-sama”. Walaupun agak gusar di hati saya.

Ira memandang mata saya dengan penuh cinta. Digenggam tangan saya dengan rasa sayang.

“Abang, Sayang tak tahu berapa lama Allah pinjamkan abang untuk sayang, tapi sayang harap abang bahagia selama sayang jadi isteri abang.

Sepanjang di dalam bilik itu tak putus Ira memohon ampun maaf, menitip pesan supaya saya menjaga zuriat kami sekiranya dia tewas. Hati di dada bagaikan nak pecah mendengar kata-kata itu.

Saya katakan pada Ira,

“Hanya sayang yang layak jadi ibu untuk anak-anak abang. Kita akan besarkan anak-anak kita seperti yang kita impikan”.

Saya kucup lembut dahi wanita dambaan hati saya sejak dulu dan selamanya. Nurse datang untuk check laluan. Kata nurse, sekejap lagi Ira akan ditolak ke LR. Saya mengangguk. Saya diberi kelengkapan untuk masuk bersama-sama.

Suasana yang tak akan pernah saya lupakan. Ira menggenggam kuat tangan saya untuk push bayi kami. Nurse dan doktor tak putus memberi kata semangat. Saya di sisi Ira juga tak putus mengingatkan Ira pada Allah, memberi kata semangat.

Tepat jam 9.45 malam 3 September 2014.

“Tahniah bayi awak selamat. Baby girl jugak ye”.

Dan diikuti,

“Maafkan saya encik, saya tak mampu selamatkan isteri encik”.

Gelap. Itu yang saya rasakan. Terduduk dan tiada kata yang mampu saya ucapkan. Keluarga saya yang mendengar berita itu turut terkejut. Mak menarik tangan saya untuk bangun.

Dipeluknya jasad saya yang bagaikan telah hilang rohnya. Lembik. Abah turut sama memeluk saya untuk memberi kekuatan. Sungguh, saya lemah. Kehilangan Ira disaat ini?

Saya masuk untuk melihat bayi kami. Saya menjalankan tanggungjawab pertama sebagai bapa, azan dan iqamat di telinga kedua-dua bayi kami. Saya peluk erat kedua-duanya saat mengalunkan azan dan iqamat. Amanah yang perlu saya jaga.

Amanda Zahirah dan Aisya Zahirah saya letakkan nama mengikut pilihan ibunya. Kehilangan Ira menggelapkan duniaku. Usai selesai pengkebumian, saya mulai rasa sunyi dan rindu yang tak pernah saya rasakan. Saya mahukan Ira.

Satu persatu kenangan bersama Ira muncul dalam kepala saya. Jika tipis iman, boleh jadi giila merindu pada yang tiada. Tapi saya perlu kuat itu yang kerap dipesan mak, ibu, abah, ayah. Saya perlu kuat untuk dua permata tinggalan Ira.

Alhamdulillah 3 September 2020 genaplah 6 tahun permata hati kami. Wajah mereka tak tumpah seperti ibunya. Lembut tutur kata sangat mengikut ibunya.

Saya bersyukur kerana mak ayah saya dan mertua sentiasa ada membantu saya menjaga anak-anak saya. Tak pernah sekali pun Ira saya lupakan.

Setiap kali cuti saya akan bawa anak-anak ke persemadian ibunya, sesekali saya akan bermalam di rumah mertua, di bilik Ira untuk melepaskan rindu. Ya, saya sendiri.

Tiada yang layak mengganti Ira. Hati ini tidak berkeinginan untuk mencari ganti. Di usia ini biarlah saya terus membesarkan anak-anak dan menambah amal ibadah sebelum bertemu pencipta.

Tujuan cerita ini dikongsi cukuplah untuk menjadi bacaan kalian. Hargailah insan yang menyayangi dan mencintai kita dengan tulus ikhlas.

Ini kerana, untuk menyayangi seseorang mungkin mudah tetapi untuk mendapatkan seseorang yang benar-benar menyayangi kita dengan tulus amat susah.

Insan yang sanggup menunggu saya pulang ke darat tanpa curang, yang sabar menanti saya pulang dengan penuh rasa sayang, yang tetap memahami kerja saya walau pelbagai diracun pelbagai orang, yang menjalani hidup dengan tabah walau pelbagai dugaan datang bertandang.

Saya mengambil masa untuk menulis nukilan ini kerana saya bukanlah penulis yang baik. Semoga penceritaan ini sampai ke hati tuan/puan.

Menyayangi dan mencintai orang adalah mudah. Mendapatkan kasih sayang dan cinta dengan tulus dari orang yang kita cintai itu amatlah payah.

Hargailah insan yang menyayangi kita sebelum sayang dan cintanya menjadi hambar kerana perlakuan kita.

Sebagai manusia, kita tidak akan merasa puas dengan apa yang kita ada sekiranya kita sentiasa mencari yang terbaik. Anologi mudahnya, sekiranya kita berada dalam satu taman bunga untuk mencari bunga yang terbaik pastinya kita akan keluar dengan tangan kosong.

carilah dan hargailah seseorang yang cukup di hati kita. Cukup untuk membahagiakan, cukup untuk menenangkan, cukup untuk mengisi hati kita.

Selepas dapat, sentiasa lah bersyukur kerana Allah hantarkan dia untuk kita sedangkan ramai lagi orang lebih baik dari kita untuk dia. Sentiasa bersyukur.

Kenangan adalah perkara yang pahit untuk dikenang bagi seseorang yang pernah memberi kita rasa manis semasa kewujudannya dan kita memilih untuk mengabaikan usaha dia membahagiakan kita. Kita takkan dapat mengulangi kenangang itu bahkan mendapatkan kenangan yang sama semula.

Percayalah, rindu pada seseorang yang memberi kenangan manis pada kehidupan kita akan datang secara tiba-tiba terutama sekiranya kita melihat atau mendengar perkara yang berkaitan dengannya.

Asalamualaikum dan terima kasih meluangkan masa membaca cerita yang panjang ini. Saya juga menyusun sepuluh jari sekiranya penulisan saya ini mencederakan hati mana-mana pihak.