Satu family aku adalah pencuri termasuk aku. Mak paling dashat sampai Opah pergi tak ngaku curi Opah punya

Malu nak berkongsi cerita, tapi tak dapat lagi nak pendam perasaan. Tak mengharap banyak, cuma harap sudi ada yang sudi membaca.

Semoga ada abang-abang dan kakak-kakak yang boleh memberi jalan keluar kepada saya. Saya nak bagitahu awal-awal, kisah saya ini panjang, sangat panjang. Maafkan saya.

Pada tahun ini, usia saya genap 18 tahun, mempunyai 6 orang beradik (saya anak ke-4), kesemuanya lelaki kecuali saya seorang perempuan.

Tinggal menetap di kawasan perumahan berhampiran dengan pusat bandar ibu negeri di semenanjung. Ibu bekerja sebagai cleaner di universiti awam, ayah pula berkerja dipasar ikan.

Kami datang dari keluarga yang miskin sederhana, tahap pembelajaran juga hanya ala kadar, tidak pandai disekolah, abang-abang tidak habis belajar, kekangan duit sememangnya, tapi isu malas belajar itu adalah yang paling utama.

Telah lama saya sedar, sudah banyak kali saya ingatkan pada ahli keluarga, sampai bila asyik nak mencuri, cukuplah, kita bukan tak mampu dah nak cari duit beli barang, semua pun sudah bekerja. Semua pun dah ada duit poket sendiri, tapi masih lagi nak mencuri jika ada peluang.

Masa kecil dahulu, memanglah seronok mencuri, mula-mula je rasa takut, tapi bila kita ada geng iaitu abang-abang, ayah, mak yang turut sama mencuri pada satu-satu masa yang sama, perasaan takut itu menjadi hilang dan akhirnya menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga.

Apa yang akan saya ceritakan ini adalah, ‘saya’ yang sebelum berusia 12 tahun. Keluarga saya masih lagi mengamalkan tabiat mencuri sehingga kini, tapi tidak saya. Sudah 6 tahun saya tinggalkan dunia yang mengaibkan itu.

Semasa saya kecil, keluarga kami menumpang rumah opah (mak kepada ayah). Opah ini sudah tua, matanya pula rabun, dalam rumah pusaka itu, tinggal kami sekeluarga, opah dan paksu (adik bongsu ayah), yang masa itu belum berkahwin.

Opah simpan duit dalam poket sarung baju dalam, duit belanja sekolah memang duit yang dicuri dari opah setiap hari, opah ni tak pandai mengira duit dan selalu lupa. Saya kasihan sangat dengan opah, opah baik dengan saya, tapi saya mencuri duit opah.

Mak cakap, mak takkan beri duit belanja sekolah. Pandai-pandailah kamu orang mencuri duit opah atau duit paksu. Sedihnya lah hidup saya. Saya lah yang selalu tidak berduit belanja disekolah, sebab selalu tak sanggup nak ambil duit opah.

Isu yang menyebabkan kami dihalau keluar dari rumah opah bila mak ditudoh oleh adik beradik ayah yang lain kerana mencuri rantai opah.

Opah ni memang lah sudah tua, selalu lupa tentang duit, tapi kalau rantai emas tu, opah ingat sangat. Rantai peninggalan atuk, opah sayang rantai tu.

Mak dengan ayah ni boleh dikategorikan sebagai pencuri amatur, tiada strategi, bertindak pula semberono. Setelah dicuri rantai opah, pergi gadai pula dipekan.

Opah tu baik sangat, tak marah pun mak dengan ayah, selama kami duduk rumah opah, tidak pernah pun opah ni marah dan benci, tak pernah pula dibezakan kami semua dengan cucu-cucu yang lain. mak dan ayah hanya jadikan alasan sebab nak menutup kesalahan mencuri itu kan.

Adik beradik yang lain bagi peluang kat ayah dengan mak, kalau tak pulangkan rantai opah tu, minta kami keluar dari rumah opah. Sebab nak menegakkan kan benang yang basah, mak ayah nekad tak mengaku, tetapi buat drama sedih dengan memilih untuk keluar dari rumah opah.

Hah. Drama, drama, drama, drama. Kalah drama Hindustan dengan air mata bagai. Padahal kami adik beradik tahu memang mak dan ayah yang curi rantai opah. (masa saya menulis cerita ini, opah sudah meninggal dunia, sampai habis nyawa opah pun, mak dan ayah masih lagi tidak mengaku)

Mak dan ayah kami ni pelik, suka berkongsi cerita dengan anak-anak apa yang dia buat. Lagi-lagi hal mencuri yang mendatangkan keuntungan, berbangga pula bila tunjuk hasil yang dicuri. Pelik kan. Saya pun kadang-kadang hairan dengan mak dan ayah.

Duduk tak lama dirumah nenek, kami berpindah ke rumah sewa yang lain, taman perumahan yang sama dengan nenek, cuma lorong yang berlainan.

Nak pindah jauh, sayang sebab nanti terpaksa tukar sekolah, sekolah pula sudah dekat dengan rumah, ayah pula dah dapat kerja dengan majlis perbandaran secara kontrak. Mak masa tu berkerja sebagai pembantu kedai makan minum pagi dekat dengan rumah yang disewa.

Masa mak bekerja di kedai makan sebelah pagi, mak berpesan sebelum pergi sekolah, kena datang kedai tempat mak kerja untuk ambil bekal makanan. Kami kesekolah jalan kaki sahaja, jarak cuma 1km.

Kedai makan tempat mak kerja itu, orang selalu ramai sebelah pagi. Jadi kawasan itu selalu sibuk, mak jaga bahagian bungkus nasi dan kuih muih.

Saya berjalan ber-empat dengan abang, mak pesan, hanya seorang sahaja yang datang ambil bekal. Yang lain tunggu dari jauh sahaja.

Mak ni, kalau tak tahu perangai dia mencuri dia, semua orang cakap yang dia sangat rajin, baik hati dan peramah pula.

Dia mudah didekati dan disenangi semua orang kerana dia ringan tulang membantu orang yang perlukan pertolongan terutamanya masa kenduri kendara.

Jika hari kenduri kendara, dialah yang paling awal datang dan yang paling terakhir tinggalkan tempat rewang, sebab itu dia amat disukai semua orang dikawasan perumahan yang kami tinggal itu. Sikap dia yang baik dengan semua orang itu, mengaburi sikap mencurinya yang sebenar.

Jikalau ada hari kenduri ditaman perumahan, saya lah yang paling bimbang dan tak tentu arah. Saya bukan apa, saya bimbang dia terkantoi sahaja. Saya taknak dia dimalukan.

Pada waktu-waktu macam itu, bekalan keperluan rumah akan lengkap untuk berminggu kerana mak, jika berpeluang, dia akan mencuri apa sahaja bekalan kenduri seperti gula, teh, susu, lada kering, minyak masak, hatta garam yang 50sen pun diangkutnya.

Belum lagi masuk cerita kami pergi membeli di shopping kompleks. Masa dulu-dulu, saya bodoh, seronok sangat kalau dapat keluar shopping kompleks, sebab dapat mencuri barang-barang.

Mak ayah akan pilih pasaraya atau kedai-kedai yang tiada cctv, tiada scanner keluar masuk dekat pintu, pekerja yang tidak mengekor kita semasa membeli dan yang kurang pelanggan pada satu-satu masa.

Selalunya kedai yang dekat taman perumahan inilah yang terkena, tokey kedai seorang lelaki cina yang sudah tua, pekerjanya pula hanya 2 orang warga Indonesia, seorang jaga didalam kedai dengan tauke, yang seorang lagi bantu uruskan sayur dan ikan dekat bahagian luar.

Kalau pergi kekedai, tidak akan pergi keseorangan, semestinya berdua atau bertiga paling kurang. Mudah nak urusan mencuri.

Ayah akan alih perhatian tokey kedai, pura-pura berborak, sebab semua kenal satu-sama lain. Mak dan abang, akan masuk mencuri didalam kedai.

Masa kecil saya, begitulah, baju raya ada yang dicuri, ada yang dibeli, tapi kalau kasut raya, sememangnya dicuri, kami akan pilih kasut raya digedung macam Mydin.

Mydin yang selalu kami pergi ini, ada kemudahan tandas disediakan untuk pelanggan. Sistem keselamatan tidak ketat, dilaluan untuk ketandas, tiada yang menjaga, jadi selalunya disitulah kami akan menukar kasut dan selipar yang dicuri.

Jika selipar asal itu sudah buruk, kami buang sahaja di dalam tong sampah di tepi tandas. Macam saya cakap tadi, system keselamatan tidak ketat, orang yang suka mencuri macam keluarga kami ini, peluang macam itu memang cukup sempurna dah.

Apa yang saya ceritakan diatas, adalah ketika saya berusia bawah 12 tahun. Selepas pada itu, saya tidak lagi mencuri walau sekalipun. Saya malu dengan diri sendiri.

Kesedaran itu datang dengan sendirinya, bila saya melihat adik-adik dibawah saya mula pandai mencuri disekolah, mencuri duit guru koperasi, mencuri barang kawan-kawan, mencuri barang dipekan sehari.

Barang-barang keperluan saya, saya tidak meminta mak atau ayah sediakan, saya akan minta duit untuk membeli sendiri. Jika mereka sediakan, saya tidak akan gunanya walau sekali. Jika mereka beramai-ramai nak keluar mencari barang dipasaraya, saya lebih awal lagi tidak akan ikut.

Macam yang saya cakap tadi, terasing dalam keluarga sendiri. Hubungan kami sekeluarga memang sangat akrab sebelum saya memilih untuk tidak terus jadi macam mereka, pada awalnya saya masih rasa diterima, tapi makin lama, inilah yang menjadi jurang pemisah kami sekeluarga sejak akhir-akhir ini.

Saya rindukan mak dan ayah saya, abang-abang, adik-adik semua, saya sayangkan mereka. Tapi saya dah tak berdaya untuk hadap perkara ini lagi. Saya ini dah besar, lambat laun akan bertemu jodoh dan berkahwin, bagaimana penerimaan bakal suami saya jika dia tahu tabiat keluarga saya? Baik takyah kahwin, tak perlu menanggung malu.

Dahulu abang pernah kemalangan, dimasukkan ke hospital, patah kaki kanan. Mak beriya nak menjaga abang dihospital, saya tahu dan kenal mak. Mak akan ambil peluang untuk mencuri jika dia duduk dihospital.

Untuk mengelakkan kejadian seperti itu, saya rela ponteng sekolah berminggu semata untuk menjaga abang di hospital. Saya tidak kisah ponteng, sebab saya belajar bukan pandai mana. Kelas pula hujung-hujung.

Kereta proton saga ayah saya itu antik, boleh angkat kerusi belakang, pastu dibawah kerusi ada ruang kosong. Memang dsitulah tempat keluarga saya menyimpan barang yang dicuri masa hari kenduri.

Barang-barang yang ada nilai. Contohnya masa hari kenduri, saya tahu apa yang adik-adik saya akan ambil, sabab saya juga seperti mereka dahulu, mencuri jika ada peluang.

Jadi sebelum kami balik kerumah sesudah habis kenduri, saya akan chek dekat kerusi itu, keluarkan barang yang dicuri oleh keluarga, kemudiannya senyap-senyap letakkan semula ditempat asal.

Macam yang saya cakap tadi, saya tahu barang apa yang mereka akan ambil, jadi tak susah untuk saya tahu barang itu siapa punya.

Saya dimarah betul oleh mak sampai mak nak naik tangan pelempang, bila dapat tahu barang itu saya letakkan semula, saya cakap dekat mak,

Abang saya yang sulung, dah pandai join geng pecah rumah orang, walau saya taktahu detail sebab saya dah berhenti bertanya. Saya malas dah ambil tahu. Saya juga sudah lama tidak bercakap dengan dia, tanda saya marah pada dia dengan apa yang dia buat.

Dia pun tahu saya marah, tapi dia taknak juga berubah. Kadang-kadang dia bawakan saya rantai emas cantik hadiah untuk saya, saya pulang balik, saya tak mahu.

Tapi masa hari jadi saya tahun lepas, dia belikan saya gelang tangan ada dalam bekas siap dengan resit beli emas. Dia letak atas katil saya, ada nota tertulis,

“balong beli guna duit gaji balong, bukan balong ambil, selamat hari jadi kakak”

(Balong pun kerja dipasar ikan macam ayah, tapi di pasar borong besar dekat bandar, balong menyewa diluar dengan kawan-kawan)

Habis SPM tahun lepas, saya terus kerja dekat kedai masakan panas dekat kawasan bandar, kedai masakan Thailand. Saya minta dengan owner, nak tinggal di bilik yang owner sediakan untuk pekerja yang datang dari Thailand.

Restoren ni memang import pekerja dari Thailand, sebulan sekali, mereka kena balik ke sempadan untuk chop passport.

Owner baik dengan saya. Dia bagi saya tinggal berkongsi free tanpa bayar, makan pula disediakan. Saya gembira sangat, tidak perlu dah terlalu fikirkan keluarga saya.

Restoren itu bukanya sampai jam 2-3am, pelanggan lelaki memang ramai melepak disitu, jadi abang-abang-abang saya ini, risaukan saya diusik, setiap hari mereka datang bergilir-gilir bersama kawan masing-masing untuk tengokkan saya, kadang-kadang tu, sampai 3 orang abang datang sekaligus. (mereka semua menyewa berasingan dekat dengan kawasan saya kerja ni)

Mereka melawat adiknya, mereka risau sangat pada saya, pada diri mereka sendiri, taknak pula fikir, tak fikir pula bertapa adik dia ni, peduli sangat pasal diaorang, taknak diorang buat perkara-perkara tak baik itu.

Mak sekarang bekerja sebagai cleaner di universiti awam, Universiti yang mak kerja ni, pelajarnya baik-baik, bakal jadi doktor nanti. Pelajar ada buat kedai runcit jual minuman dan makanan, tetapi tiada orang yang jaga, nak beli barang, duit letak dalam tabung. Tabung pun ditinggalkan disitu juga.

Ya Allah. Lain macam betul permikiran pelajar yang pandai ni, mereka ni baik hati dan tiada buruk sangka langsung. Mak setiap hari dapat makan free, ambil duit dalam tabung tu, dah tu, ambil pula bekal bawa balik untuk adik makan. Dimanalah tahap pemikiran mak ni.

Dalam cerita saya, nampak seperti saya marahkan mak, tak juga saya marahkan mak, cuma mak ni, dia dengan cara dia sendiri, taknak dengar pendapat orang, jangankan kata nak dengar nasihat orang,

saya ni kalau tegur sindir-sindir pasal mencuri tu, pasti nak ditangan-tangannya saya . Ringan je tangan mak nak lempang saya. Lain dengan ayah, ayah baik dengan saya.

Ayah bekerja dipasar ikan, pergi jam 3am, balik lepas zohor selalunya. Setiap kali bawa balik lauk, saya selalu prejudis, lauk curi kah, lauk beli kah. Sedihnya punya rasa hati macamni pada ayah,

Saya ajak adik-adik, sebab taknak ayah dan abang-abang terasa malu kalau saya mengajak mereka. Tapi adik-adik taknak buat juga, kadang-kadang ada ikut sesekali mengaji, lepas tu taknak dah.

Minta dengan Allah swt lama dah, lama dah, lama dah. Tak minta banyak pun, minta keluarga saya supaya mendirikan solat dan berhenti mencuri. Itu sahaja.

Saya tak kisah hidup susah, makan sekali sehari pun saya tak kisah, sumpah, demi Allah. Yang saya kisah, saya nak keluarga saya seperti keluarga orang lain. hidup susah senang bersama-sama.

Untuk abang-abang-abang. Kakak sayang sangat pada abang-abang-abang. Kakak rindu nak gelak-gelak main jutaria macam dulu, main carrom yang mana kakak selalu kalah, tapi asyik dimenangkan balong.

Main jutaria, kakak sorok rumah kondo banyak-banyak. Bangah pun sama main tipu. Bede lagi lah jahat. Balong je yang jujur kalau main jutaria, sebab tu selalu kalah.

Malu kan rasa bila baca luahan hati kakak kat sini? Nampak tak betapa peliknya keluarga kita. Kakak malu, berat tangan nak menaip, malu rasanya bertimbun-timbun. Kalau balong, bangah, bede dah sedia nak bersama-sama kakak, kakak akan jadi seperti kakak yang dulu.

Kakak tak boleh hidup terlalu lama tanpa abang-abang dan adik-adik kakak. Kakak tak kuat.