Benarkah berkahwin membuka pintu rezeki ?

Perkahwinan merupakan satu sunnah Rasulullah yang sangat digalakkan untuk menjadi ikutan ummah. Banyak hikmah yang diperolehi oleh individu yang berkahwin selain meramaikan ummah nabi Muhammad. Orang yang bernikah kerana Allah, Allah tidak akan sia-siakan pernikahan tersebut.

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil. Apabila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih banyak.

Allah akan mencukupkan rezeki mereka yang akan berkahwin.

Tidakkah kita lihat kenyataannya dalam masyarakat, ramai antara mereka yang mulanya miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya? Allah swt. telah berfirman di dalam surah An Nur ayat ke 32 yang bermaksud;

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

(Surah An Nur : Ayat 32)

Daripada ayat di atas, Allah menyarankan agar kita segera berkahwin jika berkemampuan. Manakala, jika mereka miskin tetapi mahu berkahwin, Allah akan cukupkan dengan memberi rezeki. Ia adalah satu jaminan daripada Allah. Yang penting, kita mesti ada usaha. Insya-Allah, Allah akan membantu dan menolong hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Selain itu, ada hadis juga daripada Rasulullah yang bermaksud;

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”.

(HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Jangan ragu-ragu.

Persoalan utama seseorang yang akan menikah adalah penyakit ragu-ragu. Jika penyakit tersebut hinggap ke dalam fikiran dan hati seseorang, maka saat itu juga merupakan waktu yang paling tepat untuk muhasabah dan koreksi diri terhadap keyakinannya pada Allah. Itulah kunci utama dalam melangkah ke hadapan dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup.

Jika memang Allah swt. Sudah berjanji demikian, kenapa harus kita meraguinya? Jika memang janji dari Zat yang Maha Benar itu sudah jelas tertulis di dalam al-Quranul karim, mengapa mesti ada ketakutan untuk segera menikah? Padahal, calon pasangan sudah ada.

Padahal, umur sudah sampai waktunya dan memang wajib untuk segera menikah. Maka, langkah yang seterusnya adalah kita berikhtiar. Jika berikhtiar sudah dilakukan, maka jangan pernah berhenti untuk berdoa. Percayalah, Allah swt. telah menentukan saat-saat yang tepat dan terbaik bagi hamba-Nya yang tak pernah putus asa dari Rahmat-Nya.

Kewajiban kita ialah untuk mempercayai dan yakin dengan janji Allah. Jangan sampai bisikan-bisikan syaitan menyusup ke dalam hati. Ianya akan dapat mengugat keimanan kita terhadap kebenaran janji Allah swt, termasuk ketika Allah swt. berjanji akan mencukupkan hamba-Nya yang miskin apabila menikah.

Tiada yang sulit bagi Allah swt jika ingin memberikan kurnia kepada hamba-Nya. Sungguh, Allah swt. Maha Pemurah dan pemberi rezeki. Kemudian, terserah kepada kita meyakini atau tidak. Dengan keyakinan itu, hidup kita akan lebih optimis dan selalu memikirkan yang positif.

Sumber : https://baitulmuslim.com/artikel-perkahwinan/benarkah-berkahwin-membuka-pintu-rezeki

Kesimpulan.

Sebagai kesimpulan, berkahwinlah jika mampu. Mampu bukan sahaja dinilai dari sudut material bahkan termasuk fizikal dan spiritual. Jika anda mahu berkahwin tetapi takut jatuh miskin dengan perkahwinan, maka itu hanyalah bisikan-bisikan jahat yang tidak ingin anda dan pasangan anda untuk membina keluarga yang bahagia dan perhubungan yang halal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *