Sahabat Baik Sejak Sekolah Tampil Beritahu Sikap Sebenar Ustazah Nur Farhana.

Kecoh apabila Ustazah Nur Farhana Ibrahim dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas tidak pulang ke rumah di  Langgar, Kedah pada petang Isnin seperti kebiasaan.

Dilaporkan, ustazah itu dipercayai mengalami kemurungan berikutan terpaksa berulang alik setiap hari dari Alor Senibong di Langgar, Alor Setar ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Genting.

Jarak sehala dari Langgar ke Balik Pulau kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu sudah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Sejak hari pertama kehilangannya, malah selepas ustazah itu dijumpai semula di Kuala Kangsar, pelbagai kritikan dan tohmahan dilemparkan terhadap Nur Farhana.

Namun di sebalik apa yang menimpa Nur Farhana, seorang wanita yang mengakui dirinya sahabat ustazah itu berkongsi mengenai guru berkenaan.

Sahabat Nur Farhana (kanan) tampil berkongsi di sebalik keperibadian ustazah itu.

Menggunakan nama Nur Nasuha Shuhaimi di laman sosial, dia menceritakan bagaimana menyaksikan sendiri betapa mulianya hati Nur Farhana melayani ibu bapanya semasa bermalam di rumah rakannya itu.

Sebagai rakan sekelas Nur Farhana dari Tingkatan 1 hingga 6, dia menyifatkan ustazah itu seorang yang bersemangat dan fokus dalam pelajaran.

“Mana mungkin aku lupa hang yang banyak tolong aku dalam pelajaran. Sentiasa bagi semangat saat aku hampir putus asa.

“Hang orang yang paling menyokong aku setiap kali aku kata aku nak masuk maktab, aku nak jadi cikgu,” katanya menerusi perkongsian di Fcebook yang kini tular.

Nur Nasuha turut menggambarkan Nur Farhana begitu disenangi ramai kerana keperibadiannya yang ceria, ramah, mudah mesra selain suka berjenaka.

Mengimbas kembali beberapa bulan sebelum dia mendirikan rumah tangga, Nur Nasuha bersama ustazah itu berbual lama di telefon.

“Seperti biasa, hang sangat ceria bercerita itu ini. Hang banyak beri nasihat. Kalau nak cerita setiap kebaikan dan kemuliaan hati hang, tak akan pernah habis. Hang terlalu baik,” tambahnya.

Nur Farhana (kiri) disibatkan  sahabatnya sebagai seorang yang cukup disenangi ramai.

Berita mengenai kehilangan Nur Farhana ternyata mencengkam jiwanya namun percaya sahabatnya itu dilindungi Allah SWT.

“Tidak terungkap betapa sedihnya hatiku saat dikhabarkan hang hilang secara tiba-tiba. Namun aku yakin, orang yang baik macam hang, Allah akan jaga.

“Allah akan lindung daripada perkara-perkara yang buruk. Bersangka baik dengan Allah. Alhamdulillah Allah makbulkan doa semua yang mendoakan hang,” katanya.

Di akhir coretan Nur Nasuha, dia berharap Nur Farhana tabah menghadapi segala kritikan orang ramai mengenai dirinya, malah sedia memaafkan mereka.

“InsyaAllah Farhana yang aku kenal seorang sahabat yang kuat dan terlalu baik hatinya. Aku doakan semoga permohonan pertukaran hang ke Alor Setar diluluskan. InsyaAllah Amin. Aku sayang hang sahabat dunia akhiratku,” katanya.

sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *