Berang dengan sikap pengotor bekas penyewa rumah, pemilik rumah ini menghantar semua sampah-sarap yang ditinggalkan di halaman rumah baru bekas penyewanya,

Jika anda pernah menyewakan rumah atau bilik kepada sesiapa, jika kurang bernasib baik, anda pastinya pernah berurusan dengan penyewa yang mempunyai pelbagai karenah. Ada antaranya yang pengotor, yang tidak sopan, yang meminta pelbagai kemudahan disediakan dan macam-macam perangai lagi.

Tetapi, bagi seorang pemilik rumah sewa dari Rozoy-sur-Serre di Aisne, Perancis ini, dia pastinya mempunyai satu cara yang luar biasa untuk menghadapi penyewa yang pengotor.

Menurut Elite Readers, pemilik rumah yang bernama Thomas Ravaux begitu terkejut apabila melihat keadaan rumahnya yang tunggang-langgang selepas bekas penyewa rumahnya berpindah keluar dari rumah berkenaan. Menurut Thomas, penyewa rumah itu sudah tidak membayar sewa rumah selama 14 bulan dan apabila mereka meninggalkan rumah tersebut, mereka langsung tidak membawa bersama perabot, pakaian, sampah dan sebagainya.

Berang dengan tindakan bekas penyewanya, Thomas memutuskan untuk melakukan sesuatu kepada bekas penyewanya itu.

Bekas penyewa Thomas juga dikira tidak pembersih kerana lihat sahajalah keadaan rumah yang ditinggalkan. Dari kotak kosong sehinggalah kepada najis haiwan peliharaan, semuanya ditinggalkan begitu sahaja.

Disebabkan hal ini, Thomas menanggung kerugian besar kerana dia perlu membersihkan rumahnya itu dan menyelenggara segala kerosakan yang ditinggalkan oleh bekas penyewanya itu. Semua ini perlu dilakukan agar rumah tersebut boleh disewakan kepada penyewa yang baharu.

Lebih daripada 50 buah beg sampah yang digunakan untuk membersihkan rumah sewa berkenaan. Bukan itu sahaja, di bahagian laman rumah berkenaan juga dipenuhi dengan sampah sarap. Pintu rumah sewa berkenaan juga telah rosak dan seluruh rumah berkenaan perlu diselenggara.

Apabila semua sampah-sarap telah dikumpulkan dan diletakkan di dalam trak, Thomas memutuskan untuk melakukan satu perkara yang difikirkan betul: semua sampah-sarap itu perlu dipulangkan semula kepada pemiliknya.

Dengan semua ‘harta-harta’ milik bekas penyewa Thomas, dia menuju ke rumah baharu bekas penyewanya itu untuk menghantar ‘harta-harta’ tersebut secara langsung. Semua sampah-sarap itu diletakkan di hadapan rumah bekas penyewanya, tanpa meninggalkan walau satupun barang.

Thomas telah berkongsi gambar-gambar berkaitan hal ini di laman Facebooknya dengan menulis:

“Inilah rupa rumah ini apabila dipulangkan kepada saya. Tinggal dengan keadaan begini dengan tiga orang anak, hebat. Kamu memang memalukan. Semoga berjaya kepada pemilik rumah sewa baharu kamu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *