Yang Tak Pandai Itu Tak Semestinya Tak Mampu Nak Belajar.

Alhamdulillah. Dengan izin Allah, saya ini berada di era penghujung di bumi barokah ini. Terlalu banyak cerita yang ingin saya ceritakan buat mereka yang sering merasakan kegagalan itu adalah dicipta untuk menjatuhkan, tidak. Kegagalan itu adalah dicipta untuk membangkitkan. Membangkitkan mereka yang sering jatuh, yang sering mencari tangan-tangan yang sudi untuk menarik mereka keluar dari lembah kegagalan mereka itu.

Saya sejujurnya bukanlah seorang yang bijak, mahupun seorang pelajar yang digelar Dekan setiap semester. Secara keseluruhannya keputusan saya setiap semester hanyalah di tahap yang biasa. Tak pernah melebihi 3.00. Namun, itu bukanlah penghalang untuk saya meneruskan perjuangan saya di bumi barokah ini.

Seperti apa yang saya katakan tadi, saya bukanlah pelajar yang bijak. Pada semester 1, cgpa saya hanyalah 1.78. Ya, hanya 1.78 sahaja. Bunyi mustahil bukan? Sebenarnya tidak. Memang benar cgpa saya adalah antara yang paling rendah dalam kalangan batch saya.

Pada ketika itu, memang saat yang paling perit dalam hidup saya. Ibu bapa saya sangat kecewa dengan keputusan saya itu, sehinggakan saya buntu dalam membuat keputusan. Namun, Allah menghantarkan orang yang menyuruh saya untuk membuat rayuan menyambung pengajian untuk semester seterusnya. Dan mesej bertalu-talu di aplikasi WhatsApp mendoakan agar saya dapat menyambung pengajian saya di kolej ini.

Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa saya, rakan sekelas, rakan se-batch saya diluluskan untuk menyambung pengajian saya pada ketika itu. Perasaan saya pada ketika itu adalah sangat bersyukur dengan apa saya dapat. Ibu bapa saya mengharapkan agar saya lebih memberi tumpuan dalam pembelajaran dan mendapatkan keputusan yang jauh lebih baik.

Pada semester kedua saya di kolej, saya rasa sangat yakin untuk mendapatkan pointer (cgpa) yang jauh lebih baik dari semester 1. Walaupun semester 2 pada keseluruhannya adalah susah, kerana kami sekelas terpaksa keluar mencari dana untuk melangsungkan program dakwah di bawah subjek Al-Madkhal ila ilm Ad-Dakwah di sebuah sekolah agama di Rawang. Walaupun ianya penuh dengan ujian yang tidak dijangka, Allah memberikan kemudahan tatkala kami sedang buntu. Alhamdulillah!

Namun, saya diuji dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Perkara itu terjadi sehinggakan ianya menganggu emosi saya sehinggakan saya rasa ingin berhenti belajar di bumi barokah ini. Saya rasa setiap manusia akan melalui saat sukar dalam hidup, dan ini adalah saat paling sukar dalam hidup saya, yang pernah saya lalui.

Kerana saya adalah seorang yang sensitive, saya tidak boleh mendengar kata-kata manusia yang membuatkan saya rasa bersalah. Dan pada ketika itu Allah hadirkan orang-orang yang memberikan sepatah dua kata semangat kepada saya. Allah itu tahu tentang apa yang aku rasa, dan dengan izin Allah, aku bangkit semula dari kejatuhan, kesedihan yang melanda.

Boleh dikatakan setiap semester saya diuji sehingga membuatkan saya rasa ingin berhenti belajar, ada saja perkara-perkara yang sering menguji, namun Allah masih tidak jemu untuk menghadirkan orang-orang untuk memberi motivasi kepada saya yang sensitive ini.

Salah satu ayat yang termaktub di dalam al-Quran ialah, “Allah tidak akan menguji manusia di luar kemampuannya.”. Sentap? Kalau tak sentap tak tahu lah. Sejujurnya memang saya sangat sentap dengan apa yang saya baca. Sebenarnya ujian yang Allah beri itu memanglah kita rasa berat, namun kita sendiri tahu kita mampu untuk hadapi.

Terkadang saya tertanya-tanya apa perlu kegagalan itu wujud? Sekarang baru saya faham bahawa kegagalan itu wujud untuk membangkitkan. Tidak semestinya kebangkitan untuk diri sendiri, ianya adalah sebagai sumber kebangkitan buat mereka yang menghadapi ujian yang sama.

Dan Alhamdulillah, saya berjaya memberi semangat buat mereka yang terpaksa menghadapi ujian yang sama seperti saya. Sejujurnya, kalau Allah tidak hadirkan orang-orang yang memberikan saya semangat, motivasi, saya tidak akan berada sampai ke hujung. Dan saya tahu, jika saya boleh, anda juga pasti boleh!

Nak dipendekkan cerita, kalau ikutkan aku semester 1 gagal, sebab cgpa bawah 2. Namun atas usaha diri sendiri, sokongan moral dari rakan & keluarga, sekarang aku dah nak habiskan diploma. Terima Kasih yang tidak terhingga buat semua yang pernah memberi semangat kepada aku dari dulu sampai lah sekarang.