Berbezanya Zaman Belajar Satu Ketika Dahulu Dan Sekarang

Zaman Sekolah.

Sebut sahaja zaman sekolah, saya pasti ramai yang ada macam-macam cerita dan kenangan pada zaman itu. Kita antara insan yang bertuah dapat merasai dan menamatkan alam persekolahan, sedangkan di luar sana masih ada yang tidak merasai suasana itu.

Rasanya semua pun dah tahu pasal situasi dan kes pada sebuah sekolah di negara kita. Saya rasa terpanggil untuk luahkan pendapat saya pasal ragam pelajar dulu dan pelajar sekarang.

Bukanlah niat saya untuk membandingkan budak sekolah zaman dahulu dan zaman sekarang. Pun begitu, pendapat saya, memang majoriti pelajar sekolah zaman sekarang ini terlalu manja. Tak cukup, ada segelintir ibu bapa yang bagi saya, terlalu ikut-ikutkan kerenah anak-anak mereka, bertindak campur tangan dalam usaha guru-guru mendidik anak-anak mereka. Bagi mereka, tidak ada cara yang lebih “lembut” untuk menghukum anak-anak mereka.

Jika dulu, pelajar datang lewat ke perhimpunan, kalau tidak kena berdiri di depan pelajar lain, denda lari pusing padang, jalan itik, rotan, kutip sampah keliling sekolah itu hukuman biasa. Lagi-lagi zaman dulu, ada juga sesetengah sekolah, hanya berdiri sampai perhimpunan tamat.

Kaki lenguh, cuaca panas itu lumrah dan biasa. Ada juga yang pengsan masa perhimpunan. Itupun dah jadi perkara biasa yang terjadi waktu perhimpunan.

Tidak siap kerja sekolah, setakat guru campak buku latihan ke luar tingkap, berdiri atas kerusi/meja, jalan itik keliling sekolah junjung buku latihan, itu pemandangan biasa bagi semua warga sekolah. Jika langgar peraturan sekolah, bergantung pada tahap kesalahan, jika kesalahan biasa, contohnya ponteng kelas, kalau setakat tarik telinga, public canning, cuci tandas sekolah, dan macam-macam lagi, lumrah la tu bagi pelajar nakal.

Semua hukuman itu, memang akan tinggalkan kenangan yang akan membentuk peribadi pelajar sedikit sebanyak, menjadi insan berguna, dan tanam sikap “berani buat, berani tanggung”.

Zaman sekarang, setakat kena tarik telinga pun dah pandai mengadu pada ibu bapa. Tapi zaman dulu, kalau mengadu, kalau mengadu, lagilah kena tambah hukuman dari ibu bapa pula. Zaman sekarang kalau mengadu, rasanya semua faham-faham sendirilah. Daya tahan diri pelajar sekarang untuk terima hukuman makin lama makin berkurang. Mereka berani langgar peraturan sekolah, namun tak berani tanggung akibatnya.

Khas untuk ibu bapa sekalian, tidak ada satu pun guru-guru yang suka sangat denda dan hukum murid-muridnya. Memang benar, ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak. Namun pada satu tahap, jika anak-anak anda melanggar peraturan sekolah, hukuman yang diterima itu terimalah dengan hati yang terbuka.

Jika masih lagi tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan, datanglah berjumpa dengan guru terbabit dan bawa sekali anak anda, dengar penjelasan guru tersebut mengenai situasi yang terjadi.

Peranan institusi sekolah ini fungsinya tidak terhad kepada hanya proses pengajaran & pembelajaran sahaja. Selain tugas mengajar, institusi sekolah juga berperanan mendidik anak muridnya dengan nilai-nilai murni dan membentuk disiplin yang tinggi dalam diri anak muridnya. Hukuman itu pula perlulah bersifat mendidik sehingga tidak mendatangkan kecederaan yang teruk.

Peranan guru itu luas. Guru mana yang tidak sayangkan anak murindnya. Jika ibu bapa berasa gagal jika anaknya tidak berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, guru adalah antara insan yang berkongsi perasaan yang hampir sama dengan ibu bapa muridnya. Jika anak muridnya berjaya, guru juga turut berasa gembira bersama ibu bapa kerana itulah anak didiknya ketika zaman persekolahannya dulu.

Lupakah kita, semua agama mengangkat tinggi darjat guru-guru? Lupakah kita, selain berkat dan restu ibu bapa, tanpa doa dan restu guru-guru juga, kita juga tidak dapat merasai kehidupan dan kejayaan yang kita nikmati sekarang?