Aku Pernah Buat Hal Dengan Abah Aku Sampai Tak Cakap Dua Bulan.

Aku sekarang berumur 22, dan sedang melanjutkan pelajaran jauh di bumi Sonata. Cerita yang aku nak ceritakan ialah kisah mengenai Abah aku, orang yang paling penyabar dan cekal orangnya.

Aku pernah gaaduh dengan Abah aku sampai tak cakap 2 bulan. Atau lebih. Waktu ni zaman Form 3, maklumlah awal remaja, jiwa memberontak. Aku ego, aku tahu aku salah, tapi masih tak nak terima Abah marah aku. Mak aku selalu nasihat, suruh cakap dengan Abah, tapi aku tak nak. Ego melangit.

Abah pun sama, buat aku macam tak ada. Ditakdirkan, ada program perjumpaan ibu bapa dekat asrama. Abah datang tapi aku tak tahu. Macam biasalah, sekolah buat scene sedih siap pasang lagu Ayah dan Ibu, lepas tu sesi bermaaf maafan dengan mak ayah. Aku time tu ego hilang terus, menangis teresak esak macam baby, peluk Abah. Mintak maaf apa semua, tapi Abah still maintain cool, tak menangis.

Ditakdirkan Tuhan sekali lagi, masa aku Form 4, keluarga aku diuji. Mak dan abah kumpulkan kiteorg adik beradik, cakap diorang dah tak boleh bersama lagi, as in nak bercerai. Aku anak sulung, of course aku marah. Adik adik aku semua kecil lagi. Tapi diorang still go on dengan keputusan diorang. Banyak peristiwa berlaku time ni, tapi aku tak nak cerita, anggaplah semua terkubur jadi peristiwa hitam yang aku nak simpan.

Dua tahun peristiwa turun naik mahkamah sebab proses penceraian. Aku pernah jadi saksi dalam mahkamah. Cukuplah aku nak cerita, peguam syariah dera mental aku sampai aku menangis teresak esak dalam kandang saksi. Akhirnya aku duduk dengan ayah aku dan adik perempuan kedua dan adik lelaki yang ketiga. Adik keempat dan kelima lelaki duduk dengan mak aku.

Macam macam Allah duga kami. Ayah aku terlibat dalam kemaalangan, waktu pergi kerja kereta hentam pokok dekat selekoh. Separuh kereta hilang, tapi Alhamdulillah, ayah aku selamat. Lepas tu, ayah aku takde kereta, berbekalkan duit yang ada Ayah beli motor kapcai, pergi kerja jarak 45 minit dari rumah. Kadang kadang takde duit, aku adik beradik makan lauk apa yang ada je.

Walaupun mak ayah aku dah duduk asing, mak aku selalu datang asrama bawak makanan. Aku tak salahkan mana mana. Sebab apa pun yang terjadi, diorang tetap mak dan ayah aku. Masa Form 5, sekolah aku buat majlis graduasi. Alhamdulillah, aku dapat nombor 2 dalam tingkatan, dan dapat anugerah penghormatan pengetua. Semua mak ayah datang majlis.

Aku? Mak aku tak dapat datang, jadi Abah datang. Waktu aku naik pentas, nampak riak bangga dari wajah Abah. Aku tersenyum, sebab aku dapat buat Abah bangga. Selesai majlis, Abah bagi bunga kat aku, sebab dekat luar dewan ada jual bunga sempena majlis.

Selepas 5 tahun aku baru tahu, rupanya waktu tu Abah ada beberapa ringgit je dalam dompet, sanggup tak makan sebab nak beli bunga untuk aku, itupun tahu dari makcik aku. Air mata lelaki aku jatuh weh. Sedih. Lepas tu keputusan SPM diumumkan. Aku dijemput lagi untuk ke sekolah untuk terima anugerah. Waktu ni aku kata kat Abah, tak perlu datang pun takpe, aku pergi sorang pun dah OK.

Abah kata abah nak hantar, jadi aku naiklah motor kapcai abah pergi sekolah awal pagi. Tiba tiba hujan lebat. Aku waktu tu pakai smart habis sebab majlis rasmi kan. Ada la basah sikit. Lepas tu abah aku terus stopkan motor. Abah aku bagi baju hujan kat aku lepas tu cakap, ‘Pakailah, nanti kau basah kuyup untuk majlis. Abah takpe, basah sikit je’

Sedih weh. Abah aku basah kuyup. Aku menangis sepanjang naik motor 40 minit tu. Sampai sekolah cikgu tanya, mana mak ayah awak. Aku cakap, diorang kerja , cikgu. Kesudahannya, aku naik pentas sorang sorang, dan alhamdulillah, aku dapat anugerah pelajar terbaik sekolah dengan straight A dalam SPM. Aku balik, naik bas, sorang sorang. Walaupun takde siapa yang tengok majlis aku, aku bangga sebab dapat banggakan mak ayah aku.

Alhamdulillah, waktu aku menulis kisah ni, mak ayah aku dah kembali bersama. Aku pun sekarang dah melanjutkan pelajaran dekat luar negara. Dan aku sempai sekarang tak pernah guna duit mak ayah aku sejak habis SPM. Semuanya usaha sendiri atau duit biasiswa. Kadang kadang, aku hantar duit biasiswa aku dekat mak ayah aku, dekat adik adik aku. Adik adik aku Alhamdulillah, semua berjaya dan cemerlang di sekolah. Keluarga kami walaupun bukan keluarga berada, aku bersyukur weh.

5 tahun keluarga aku berpisah. 5 tahun tu jugalah macam macam dugaan aku dapat. Aku tak tipu, benda ni sedikit sebanyak beri kesan depression teruk pada aku, tapi aku bersyukur, Allah masih sayang aku, dengan hikmah ujian yang dia bagi.
Ada banyak lagi kisah yang aku nak cerita, tapi sampai sini je lah dulu.
Doakan aku supaya dapat grad tahun depan dan kembali berbakti kepada keluarga, agama dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *